Pertemuan tiga sahabat Kamaruddin, Ezam dan Nalla
Setiausaha Agung PAS, Datuk Kamaruddin Jaafar mengesahkan beliau telah mengadakan pertemuan dengan Datuk S Nallakarupan yang telah mengumumkan akan keluar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR).
Katanya, pertemuan yang diadakan di pejabatnya di Bangsar Baru semalam itu turut dihadiri oleh bekas ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Ezam Mohd Noor.
Ditanya tujuan pertemuan itu diadakan itu, Kamaruddin yang juga Ahli Parlimen Tumpat berkata, ia hanya pertemuan biasa antara 'kawan lama'.
Beliau memberitahu demikian ketika ditanya mengenai spekulasi bahawa pertemuan itu
dibuat atas permintaan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memujuk Nalla (foto) supaya menarik balik keputusannya itu.
Kamaruddin menafikannya tetapi menegaskan ia hanya satu pertemuan biasa "untuk bertanya khabar" antara kawan lama.
"Kami telah biasa bertemu, pejabat saya dengan pejabat Datuk Nalla berdekatan. Ezam walaupun jauh sedikit, tetapi kami semua berkawan rapat sejak dulu lagi.
"Kami berbincang pelbagai perkara, termasuk politik semasa seperti berita Datuk Nalla keluar PKR.
Kerana kecewa
"Datuk Nalla memberitahu, beliau kecewa dengan apa yang berlaku tetapi menegaskan beliau tidak akan kembali semula ke pangkuan MIC," katanya.
Nalla akan mengadakan sidang akhbar esok berhubung pengumumannya keluar dari PKR.
Semalam, Nalla yang juga merupakan kawan rapat Anwar, mengumumkan beliau keluar dari PKR kerana mendakwa dipermainkan oleh penasihat PKR itu.
"Cukuplah!" kata ahli perniagaan yang berusia 61 tahun itu kepada malaysiakini semalam. "Sudah lama saya dipermainkan."
Menurutnya, beliau sudah dua kali dipermainkan oleh "kawan karibnya" Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang juga penasihat PKR, selepas memberi jaminan bahawa beliau (Nalla) akan diberi peranan penting dalam parti itu.
"Kali pertama Anwar memberitahu saya patut bertanding dalam pilihanraya kecil Ijok. Tetapi pada saat-saat akhir, beliau meminta saya menarik diri dan memberi kerusi itu kepada Tan Sri Khalid Ibrahim.
"Saya marah kerana sehingga saat-saat akhir pun, beliau masih lagi mahu saya bertanding tetapi saya (kemudiannya) bersetuju dengan keputusannya (supaya tidak bertanding) dan memberitahu akan melakukan apa sahaja untuk membantu Khalid memenangi kerusi tersebut," katanya.
Pada pilihanraya kecil Ijok pada 28 April lalu, Khalid tewas kepada calon Barisan Nasional (BN) dari MIC, K Parthiban.