Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Lembaga pengampunan tak berhak maafkan tertuduh, kata Hadi

PRK JOHOR | PAS mendakwa cara negara ini memberikan pengampunan kepada seseorang pesalah adalah tidak sesuai dengan apa yang diajarkan Islam.

Presidennya, Abdul Hadi Awang, pihak yang berhak memberikan pengampunan ialah ahli keluarga seseorang yang menjadi mangsa jenayah, bukannya lembaga pengampunan.

Katanya undang-undang Islam dilaksanakan untuk mendidik bukan menyeksa.

Justeru menurut bekas duta khas bertaraf menteri itu lagi, PAS mahu peruntukan undang-undang yang ada sekarang ditukar kepada peraturan Islam.

“Termasuk (mengenai) pengampunan. Kes jenayah dalam Islam, yang berhak mengampun adalah mangsa jenayah. Kalau dia mati, (melibatkan) kes bunuh, adik beradik dia, ibu bapa dia atau wali dia yang berhak mengampun, bukan lembaga pengampunan.

“Lembaga pengampunan ini ialah Yang Di-Pertuan Agong, perdana menteri, peguam negara,” katanya ketika berucap dalam Ceramah Perdana PN Johor di Markas PAS Kawasan Bakri, di Muar malam tadi.

Katanya selain itu PAS juga mahu waris atau mangsa sesuatu perbuatan jenayah diberikan pampasan.

Namun, dakwa Abdul Hadi langkah tersebut mendapat tentangan pihak lawan PAS, khususnya DAP dan Amanah dan "sebahagian Umno."

“DAP menentang, tak setuju. Amanah juga sokong DAP. Ini yang tuan puan nak mengundi ini, sokong DAP... termasuk sebahagian Umno.

“Kita siasat-siasat mengapa (DAP tak setuju) rupanya, kalau undang-undang Islam diamalkan orang bukan Islam pilih undang-undang Islam.

“Orang bukan Islam akan terpengaruh dengan undang-undang Islam,” dakwanya.

Lihat Komen
ADS