Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Modul 40 hadis: Gerakan akur, tapi ingatkan tak libat bukan Islam

Tampil menyatakan sokongan terhadap modul Penghayatan 40 Hadis Imam Nawawi yang diperkenalkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Presiden Gerakan Dominic Lau, menegaskan betapa program itu sama sekali tidak boleh melibatkan pelajar-pelajar bukan Islam.

“KPM berpegang kepada kenyataan menterinya bahawa modul yang akan diperkenalkan hanya untuk pelajar sekolah agama dan kepada pelajar Islam, dan tidak sesekali memperluaskan modul ini kepada pelajar bukan Islam. Jaminan tersebut penting. 

“Gerakan menyokong usaha ini dan mengharapkan KPM mendekati pihak berkepentingan termasuk ibu bapa dengan penerangan perancangan, impak dan perjalanannya. 

“Masalah yang sering kita hadapi di bawah kerajaan ini adalah mereka gagal dalam proses penerangan dan sering menimbulkan kegelisaan kepada orang ramai,” katanya dalam kenyataan media, semalam.

KPM sebelum ini menyatakan rancangan pelaksanaan modul tersebut di 61 sekolah menengah kebangsaan agama (SMKA) dan 228 sekolah agama bantuan kerajaan (SABK) seluruh negara.

Ia menimbulkan bantahan banyak pihak termasuk ahli politik dan Majlis Perundingan Agama Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoisme Malaysia (MCCBCHST) yang menyatakan "kebimbangan mendalam" terhadap kemungkinan pelajar bukan Islam perlu mempelajari modul itu juga.

Terdahulu Lau dalam kenyataan pada 24 Ogos lalu mempersoalkan langkah kerajaan untuk memperkenalkan modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi di sekolah kerajaan kerana ia bukan sahaja melanggar Perlembagaan dan prinsip negara, malah mengancam keharmonian budaya dan agama pelbagai di Malaysia.

Dia turut mempersoalkan mengapa DAP yang mengaku memperjuangkan demokrasi, hak asasi manusia, dan kepelbagaian kaum berdiam diri terhadap perkara ini.

Lau membantah langkah KPM untuk memperkenalkan itu di sekolah kerajaan dan menegaskan bahawa di dalam sekolah berkenaan tidak hanya terdapat pelajar beragama Islam, malah terdapat pelajar bukan Islam, maka perlaksaan modul ini di sekolah kerajaan hanya akan membawa kesan yang sebaliknya, membuat pelajar bukan Islam berasa tersisih dan melebarkan jurang antara pelbagai kaum.

Semalam Malaysiakini melaporkan Presiden PAS Abdul Hadi Awang berkata PAS akan mengadakan majlis dialog bersama Gerakan bagi memberi penjelasan mengenai pelaksanaan Modul Penghayatan Hadis 40 Imam Nawawi. 

Katanya, PAS sentiasa berhubung dengan Gerakan dalam membincangkan mana-mana isu berbangkit.

Selain itu Pemuda PN memberi amaran supaya tidak ada mana-mana pihak termasuk parti politik cuba menjadi hero dengan membantah KPM pelaksanaan modul berkenaan.

Ketuanya Ahmad Fadhli Shaari berkata, ia kerana pengajaran Islam sudah termaktub dalam Akta Pendidikan 1996. 

Sementara itu Lau berkata dalam kenyataan susulannya mengingatkan kepada pendekatan kesederhanaan yang perlu diterapkan oleh semua pihak dalam menghormati hak keagamaan dan pengajiannya. 

Menurutnya dia percaya bahawa setiap elemen kerohanian dan keagamaan perlu diterapkan dalam silibus pendidikan.

“Perkara itu jelas. Apa yang penting adalah proses penerangan berkenaan dengan pendekatan tersebut. Kenyataan-kenyataan awal pihak berkuasa dalam perkara ini adalah terlalu makro dan mewujudkan kegelisaan kepada orang ramai terutamanya kepada ibu bapa dan pelajar bukan Islam. 

“Kita sebagai rakyat berbilang kaum dan agama perlu memahami konteks keserdahanaan dan menghormati pendekatan keagamaan oleh rakan-rakan kita. 

“Selagi sesebuah pengajian tidak menimbulkan kesulitan kepada yang lain, tidak salah mereka (yang Islam) menghayati asas kesucian yang menghimpunkan panduan kehidupan dan dipercayai membantu pembentukan akhlak generasi muda Islam yang lebih baik,” katanya.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS