Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jerebu: Syarikat M’sia di Indonesia diarah elak pembakaran terbuka
Diterbitkan:  Aug 30, 2023 12:46 PM
Dikemaskini: 5:47 AM

Kerajaan telah menulis surat kepada syarikat perladangan Malaysia yang beroperasi di Indonesia untuk memastikan tiada pembakaran terbuka dalam operasi mereka, bagi mengelakkan jerebu rentas sempadan.

Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Nik Nazmi Nik Ahmad berkata, ini kerana perladangan dan tanah gambut dikenal pasti sebagai antara punca utama jerebu merentas sempadan di rantau ini.

"Sebagai inisiatif mencegah jerebu merentas sempadan, saya mengemukakan surat kepada syarikat perladangan Malaysia, anak-anak syarikat dan syarikat-syarikat berkaitan Malaysia yang beroperasi di Indonesia supaya memastikan langkah-langkah pencegahan pembakaran terbuka di kawasan ladang diambil sewajarnya bagi mengelak berlakunya kebakaran ladang dan hutan gambut yang menjadi punca utama insiden jerebu merentas sempadan di rantau ini.

"Di samping itu, usaha-usaha berkaitan juga akan diteruskan bersama Kementerian Luar Negeri melalui Pejabat-pejabat Perwakilan di Indonesia. Usaha-usaha ini juga akan dimaklumkan kepada rakan sejawat saya di Indonesia," katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Untuk rekod, pakar percaya fenomena El Nino, yang dijangka mengakibatkan cuaca lebih panas dan kering di Asia Tenggara akan memburukkan lagi jerebu di rantau itu.

Negara-negara Asean menandatangani Perjanjian Asean mengenai Pencemaran Jerebu Rentas Sempadan (AATHP) yang mengikat secara sah pada 2022, berikutan jerebu teruk di rantau itu pada 1997-1998.

Bagaimanapun, perjanjian itu mempunyai had penguatkuasaan, kata profesor madya politik alam sekitar Universiti Malays Helena Varkkey kepada Bernama.

Justeru katanya, Malaysia harus mengikuti Singapura menggubal akta pencemaran jerebu rentas sempadan pada 2014 yang menghalang entiti berkaitan Singapura daripada menjalankan aktiviti di luar negara yang boleh menyumbang kepada jerebu rentas sempadan.

Malaysia pada 2019 telah merangka undang-undang yang sama tetapi kemajuan itu dihentikan selepas pertukaran kerajaan secara tiba-tiba.

Mengulas lanjut Nik Nazmi berkata negara kini berhadapan dengan Monsun Barat Daya yang bermula pada 15 Mei 2023 dan dijangka berterusan sehingga September 2023.

Katanya, lazimnya pada tempoh ini, negara akan mengalami taburan hujan yang kurang dan cuaca yang lebih panas dan kering.

"Pada kebiasaannya, negara akan mula mengalami cuaca panas yang ketara sekitar bulan Ogos hingga September setiap tahun dan kejadian pembakaran terbuka berpotensi berlaku di kawasan yang mudah dan sering terbakar seperti di kawasan hutan dan tanah gambut serta tapak pelupusan sampah," katanya.

Sementara itu tambahnya, kerajaan juga telah mengaktifkan pelan untuk mencegah aktiviti di Malaysia yang boleh mengakibatkan jerebu.

Ahli Parlimen Setiawangsa itu berkata, antara tindakan diambil dengan mengaktifan pelan tindakan pembakaran terbuka kebangsaan (PTPTK)

sejak April lalu, manakala pelan pencegahan pembakaraan tanah gambut diaktifkan sejak Mac lalu.

"Pemantauan berterusan status kualiti udara semasa melalui 65 stesen automatik Jabatan Alam Sekitar dan status cuaca semasa dan ramalan cuaca oleh Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia)," kata Nik Nazmi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS