Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PANDUANKINI | Membongkar salah tanggapan mengenai pelarian di M'sia

Malaysia menjadi tuan rumah kepada lebih 182,000 pelarian dan pencari suaka dari 50 negara termasuk Myanmar, Syria, Afghanistan dan Iran.

Walaupun jumlah pelarian yang ramai di negara ini, Malaysia tidak menandatangani Konvensyen Berkaitan Status Pelarian 1951 atau protokol 1967 yang berkaitan dengan konvensyen itu.

Maka, semua pelarian dan pencari suaka di Malaysia mendapat status "pendatang tanpa izin" di bawah undang-undang imigresen.

Keadaan pelarian di sini menyebabkan kerajaan Malaysia menerima kritikan daripada kumpulan hak asasi manusia tempatan dan antarabangsa, mendesak pengiktirafan pelarian di Malaysia yang telah lama ditunggu-tunggu.

Gambar fail, Ahmad Zahid Hamidi mengunjungi kem pelarian di Cox Bazar, Bangladesh ketika menjadi TPM pada 2018.

Pada Mei lalu, Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi membayangkan perjanjian berpotensi untuk menguruskan keadaan pelarian di negara ini, yang akhirnya mungkin mencapai satu bentuk pengiktirafan untuk pelarian dan pemohon suaka.

Panduankini meneliti salah tanggapan dan maklumat salah paling biasa terhadap pelarian di Malaysia serta meneliti fakta dan data yang sebenarnya.

Siapakah pelarian?

Menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pelarian ialah seseorang yang terpaksa meninggalkan negara asalnya kerana penganiayaan, peperangan atau keganasan.

Ini termasuk ketakutan terhadap penganiayaan kerana menjadi etnik, suku kaum atau agama tertentu, atau pendapat politik mereka, seksualiti mereka atau keahlian kumpulan sosial tertentu.

Kadangkala, pelarian juga dirujuk sebagai pencari suaka. Ini biasanya merujuk kepada seseorang yang mencari suaka di negara, tetapi alasannya untuk memohon suaka masih belum disahkan.

Sementara itu, Orang Pelarian Dalaman (IDP) merujuk seseorang yang terpaksa melarikan diri dari rumahnya tetapi kekal di dalam sempadan negaranya.

Apakah hak yang ada pada seorang pelarian?

Pengisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat terpakai kepada setiap manusia, termasuk pelarian.

Takrif pelarian dan kewajipan undang-undang negara tuan rumah untuk melindungi mereka dinyatakan dalam Konvensyen 1951 Berkaitan Status Pelarian atau Protokol 1967.

Kira-kira 149 negara menyertai satu atau kedua-dua konvensyen ini, tetapi Malaysia tidak memeterainya.

Ini bermakna di Malaysia, pelarian yang tidak mempunyai visa perjalanan yang sah disifatkan sebagai “pendatang tanpa izin” dan dinafikan hak asasi seperti hak untuk bekerja atau bersekolah.

Jika Malaysia tidak menandatangani konvensyen tersebut, adakah ini bermakna Malaysia tidak bertanggungjawab untuk melindungi pelarian?

Walaupun Malaysia tidak mengambil bahagian dalam konvensyen tersebut, namun sesebuah negara itu wajib mematuhi undang-undang hak asasi manusia yang menjadi kelaziman antarabangsa, kata Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR).

Ini bermakna tidak menghantar pulang pelarian ke negara tempat mereka melarikan diri, satu tindakan yang dikenali sebagai refoulement (penghantaran pulang secara paksa).

Malaysia secara sedar telah menghantar pulang pelarian ke negara asal mereka, kerana di bawah undang-undang imigresennya, pelarian hanya dianggap sebagai pendatang tanpa izin.

Malaysia juga bertanggungjawab untuk melindungi hak asasi manusia semua orang di dalam negaranya, termasuk pelarian, kata UNHCR.

Untuk makluman, Malaysia sekarang merupakan negara anggota Majlis Hak Asasi Manusia PBB.

Jika kerajaan tidak melindungi dan membantu pelarian di Malaysia, siapa yang kena buat?

UNHCR merupakan organisasi antarabangsa utama yang mengendalikan pelarian di Malaysia.

Tetapi bertentangan dengan persepsi popular, pelarian tidak mendapat sumbangan tetap atau bantuan langsung daripada UNHCR.

Sebaliknya, UNHCR berperanan memproses permohonan suaka dan mengeluarkan kad UNHCR kepada mereka yang status pelariannya disahkan. UNHCR kemudian berfungsi untuk menempatkan semula pelarian di negara ketiga.

Ia juga bekerjasama dengan NGO tempatan untuk mencipta projek menjana pendapatan dalam membantu pelarian, yang sepenuhnya berdikari.

“Apa yang ramai orang tidak sedar ialah kos melindungi dan membantu pelarian di negara ini sebahagian besarnya ditanggung oleh komuniti pelarian itu sendiri,” kata jurucakap UNHCR di Kuala Lumpur Yante Ismail, kepada Malaysiakini.

"Pelarian menjaga keperluan asas mereka sendiri - termasuk menangani keperluan penjagaan kesihatan, pendidikan dan tempat tinggal keluarga mereka sendiri - selalunya melalui pengaturan kebajikan sosial komuniti mereka sendiri," jelasnya.

Adakah kerajaan Malaysia beri sebarang bantuan kepada pelarian?

Kerajaan Malaysia tidak menawarkan sebarang jenis bantuan atau sokongan kewangan kepada pelarian, yang dianggap sebagai "pendatang tanpa izin" mengikut undang-undang imigresen.

Inisiatif untuk menawarkan akses terhad kepada pelarian dalam pendidikan sentiasa dibiayai oleh kerajaan asing atau organisasi swasta.

Ini termasuk inisiatif baru-baru ini untuk membenarkan pelarian Rohingya belajar di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) melalui geran daripada Dana Qatar untuk Pembangunan.

Walaupun kad UNHCR memberikan diskaun 50 peratus ke atas yuran warga asing untuk pelarian yang menerima rawatan di hospital awam, ia tidak menawarkan sebarang faedah kewangan lain selain daripada itu.

Sama ada UNHCR atau kerajaan, pelarian tidak menerima apa-apa bantuan kewangan tetap dan mereka terpaksa bergantung kepada pekerjaan tidak tetap dan kerja tidak formal yang meletakkan mereka di bawah begitu banyak risiko untuk mencari rezeki.

Kenapa pelarian pilih ke Malaysia, walaupun hidup miskin?

Pelarian dipaksa keluar dari negara mereka kerana peperangan, keganasan, dan penganiayaan.

Oleh itu, dakwaan bahawa mereka mempunyai "pilihan" apabila mereka pergi ke sesebuah negara itu merupakan idea yang mengelirukan.

Gambar fail, penganiayaan etnik Rohingya di Arakan, Myanmar.

Sebab pelarian pergi ke negara tertentu berkaitan dengan banyak faktor, kebanyakannya atas dasar kedekatan geografi.

Menurut UNHCR, 1.3 juta orang meninggalkan negara itu sebagai pelarian. Sekitar 89 peratus tinggal di dua negara jiran, Bangladesh dan Malaysia.

Bangladesh menempatkan lebih 900,000 pelarian Rohingya di wilayah Cox Bazaar manakala Malaysia menampung lebih 157,000 pelarian dari Myanmar.

Contoh lain ialah krisis pelarian Syria, yang menyaksikan lebih 6.8 juta rakyat Syria terpaksa meninggalkan negara itu akibat peperangan, dengan sekitar 5.2 juta tinggal di tiga negara jiran, Turki, Lubnan dan Jordan. Malaysia menampung hanya 2,680 pelarian Syria.

Walaupun pelarian tidak diwajibkan berdasarkan konvensyen pelarian untuk mendapatkan suaka di negara selamat pertama yang mereka sampai, kebanyakan pelarian berbuat demikian, kata sebuah organisasi yang membantu pelarian, Free Movement dari United Kingdom.

Mengapa mereka tidak pergi ke negara Asia Tenggara yang lain?

Pihak berkuasa Malaysia telah memetik alasan berbeza berhubung "tarikan" pelarian ke Malaysia, seperti ketidakupayaan pihak berkuasa untuk menghantar pulang pelarian Rohingya.

Bagaimanapun, pihak berkuasa sering tidak bercakap tentang faktor pendorong terbesar yang memaksa pelarian keluar dari negara asal mereka, iaitu peperangan dan keganasan.

Malaysia menjadi tuan rumah kepada 158,500 pelarian dari Myanmar, di mana keganasan terhadap rakyat terus memaksa pelarian mencari tempat yang lebih selamat untuk terus hidup di rantau ini.

Gambar fail, pelarian Rohingya.

Seorang aktivis hak pelarian dari Myanmar, yang meminta namanya dirahsiakan, memberitahu Malaysiakini bahawa pelarian dari Myanmar sebenarnya tidak mempunyai sebarang pilihan, selain melarikan diri daripada keganasan terhadap mereka.

Bangladesh atau Malaysia dianggap destinasi lebih selamat berbanding negara lain di rantau ini, termasuk negara jiran Thailand, kata aktivis itu.

“Thailand bukanlah tempat yang selamat untuk pelarian dari Myanmar, kerana ia terkenal dengan menghantar pulang pelarian untuk berdepan kematian dan penyeksaan.”

Pengarah Eksekutif pertubuhan hak pelarian Asylum Access Malaysia, Hui Ying Tham menjelaskan perbincangan sering kali menjurus mengenai soal pilihan, sedangkan katanya pelarian tiada pilihan lain demi menyelamatkan nyawa mereka.

"Saya fikir kita harus menolak naratif berbeza ini tentang mengapa pelarian memilih untuk datang ke sini, dan lebih fokus pada cara menyediakan pendekatan hak asasi manusia kepada situasi mereka," katanya.

Apakah kesan pelarian terhadap ekonomi Malaysia?

Selama bertahun-tahun, pelarian disifatkan sebagai "beban" bagi Malaysia, walaupun kerajaan tidak memikul sebarang tanggungjawab logistik atau kewangan untuk memformalkan status mereka di negara ini.

Tetapi fakta dan kajian menunjukkan sebaliknya. Kajian UNHCR mendapati 60 peratus pelarian dewasa di Malaysia bekerja, kebanyakannya dalam sektor tidak formal yang meliputi sekitar 23 peratus daripada jumlah pekerjaan di negara ini pada 2021.

Tetapi pekerjaan tidak formal ini meletakkan pelarian di bawah begitu banyak risiko, seperti buruh paksa, penahanan dan eksploitasi, kata kajian Pertubuhan Buruh Antarabangsa (ILO) pada 2019.

Kajian lain pula mendapati pelarian yang bekerja secara sah di Malaysia boleh memberi hasil yang sangat positif terhadap ekonomi negara.

Kajian 2019 oleh Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi di Malaysia (Ideas), menunjukkan bahawa pelarian boleh menyumbang lebih RM3 bilion kepada KDNK tahunan menjelang 2024 jika diberikan hak untuk bekerja.

Ia juga boleh mewujudkan lebih 4,000 peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

Ini telah berlaku di negara lain yang menjadi tuan rumah pelarian, seperti Turki, salah satu negara yang menempatkan pelarian terbesar di dunia.

Tinjauan oleh Yayasan Penyelidikan Dasar Ekonomi Turki (Tepav) menunjukkan perniagaan yang diasaskan oleh pelarian Syria menyediakan peluang pekerjaan kepada sekurang-kurangnya tujuh peratus daripada 3.6 juta pelarian Syria di negara itu.

Rakyat Syria di Turki mengasaskan lebih 10,000 syarikat sejak 2011, dengan 59.4 peratus pemilik perniagaan berjaya, menurut tinjauan itu. Lebih 250,000 rakyat Syria mendapat manfaat daripada perniagaan yang didorong oleh pelarian di Turki.

Bagaimanapun, realiti ini tidak mencukupi untuk menghentikan propaganda antipelarian di Turki, yang membawa kepada keganasan terhadap mereka dan pengusiran beramai-ramai selepas pilihan raya umum baru-baru ini.

Berapa lama pelarian akan tinggal di Malaysia?

Ini bergantung kepada dua faktor penentu utama, penghantaran pulang yang selamat dan penempatan semula.

Kepulangan pelarian ke negara mereka dikawal ketat oleh undang-undang antarabangsa dan dilarang jika tiada jaminan keselamatan dan kepulangan yang bermaruah untuk pelarian dan pencari suaka itu. Ini bukan pilihan yang tersedia untuk kebanyakan pelarian di Malaysia.

Pelarian dari Myanmar tidak boleh pulang tanpa menghadapi bahaya penganiayaan, penyeksaan dan pembunuhan. Sejak rampasan kuasa tentera pada 2021, organisasi bebas mendokumentasikan kematian beribu-ribu orang awam di negara itu.

Jun lalu, pelapor khas PBB mengenai hak asasi manusia di Myanmar, Tom Andrews berkata muncul laporan yang menyebut pihak berkuasa Bangladesh telah menggunakan "kaedah menipu dan paksaan" untuk memaksa pelarian Rohingya kembali ke Myanmar.

"Keadaan di Myanmar tidak kondusif untuk kepulangan pelarian Rohingya dengan selamat, bermaruah, mampan dan sukarela," katanya pada satu kenyataan.

Tahun lalu, Malaysia menghantar pulang 150 pencari suaka dari Myanmar termasuk enam bekas pegawai tentera laut, walaupun mendapat kritikan daripada pertubuhan hak asasi manusia.

Sekurang-kurangnya seorang pegawai, Kyaw Hla dan isterinya, Htay Htay Yee, telah ditahan sebaik tiba di bandar utama Yangon, Myanmar, lapor Reuters.

Pelarian Syria yang kembali ke Syria menghadapi ancaman besar seperti pembunuhan, penyeksaan, keganasan seksual dan kehilangan paksa.

Pada tahun 2021, Amnesty International mendokumentasikan 24 kes lelaki, wanita dan kanak-kanak yang pulang ke negara itu telah dirogol atau berdepan bentuk keganasan seksual lain, penahanan sewenang-wenangnya dan/atau penyeksaan atau layanan buruk lain selepas kembali.

Apakah kebarangkalian pelarian di Malaysia ditempatkan semula ke negara lain?

Keadaan semasa menyebabkan mustahil pelarian yang tinggal di Malaysia pulang ke negara asal mereka dengan selamat hanya mempunyai satu penyelesaian jangka panjang, iaitu penempatan semula ke negara ketiga.

Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mentakrifkan penempatan semula sebagai pemindahan pelarian dari negara suaka ke negara lain yang telah bersetuju untuk menerima mereka dan akhirnya memberikan mereka status pemastautin tetap.

Tetapi penyelesaian ini sangat rumit dan memerlukan kemudahan daripada pelbagai agensi swasta dan kerajaan di beberapa negara. Penempatan semula diberi keutamaan berdasarkan penilaian individu.

UNHCR Malaysia memberitahu Malaysiakini 94,800 pelarian telah ditempatkan semula dari Malaysia sejak Mac 2008.

Pada 2022, hanya 3,080 pelarian telah ditempatkan semula dari Malaysia. Jumlah ini hanya 1.69 peratus daripada semua pelarian di negara ini, tetapi masih lebih tinggi daripada kadar penempatan semula global sebanyak satu peratus.

Tanpa kemungkinan pemulangan yang selamat dan bermaruah, atau proses penempatan semula yang lebih pantas, pelarian tidak mempunyai pilihan selain tinggal di Malaysia walaupun mereka berdepan masalah disebabkan oleh kekurangan pengiktirafan undang-undang.

Hanya rangka kerja perundangan yang mampan yang dimulakan oleh kerajaan untuk memformalkan status pelarian dan memulihkan hak asasi manusia mereka akan dapat memberikan penyelesaian yang lebih berdaya tahan terhadap kes pelarian di Malaysia.


WAEL QARSSIFI ialah wartawan dan felow penyelidik di Migration + Tech Monitor, yang memantau bagaimana pelarian terkesan dengan teknologi sempadan. Artikel ini merupakan sebahagian daripada geran penyelidikan tersebut.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS