Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek 'Silicon Island' di Pulau Pinang mendapat kelulusan rasmi daripada Jabatan Alam Sekitar Negeri Pulau Pinang pada 21 Julai, kata Ketua Menteri Chow Kon Yeow.
Ini susulan kelulusan Laporan Penilaian Kesan Alam Sekitar (EIA) bagi projek Pulau Pinang Selatan (PSI) yang telah diberi kelulusan dengan 71 syarat oleh Jabatan Alam Sekitar pusat pada April lalu.
Dalam satu kenyataan hari ini Chow menyatakan penghargaannya atas penilaian dan kelulusan EMP.
"Keputusan tersebut adalah hasil kerjasama dan usaha bersama untuk memastikan bahawa pembangunan ‘Silicon Island’ mematuhi piawai alam sekitar dan keselamatan komuniti setempat.
"Terima kasih juga ditujukan kepada semua pihak yang telah memberikan sumbangan pandangan dalam merangka EMP ini.
"Dengan kelulusan daripada agensi-agensi terlibat, kerja-kerja persediaan awalan tambakan bagi projek akan dimulakan pada 1 September 2023 dan diteruskan sehingga kerja-kerja berkaitan disiapkan,” kata Chow.
Tambahnya, sejajar dengan komitmen kerajaan negeri untuk membuat bayaran ex-gratia kepada komuniti nelayan yang terjejas akibat projek itu selepas kelulusan EMP, pembayaran 75 peratus daripada ex-gratia itu akan mula dikreditkan secara berperingkat mulai hari ini. manakala baki 25 peratus akan siap pada awal 2024.
"Bayaran akan dibuat secara berfasa dengan mengambil kira skop projek PSI yang telah dikurangkan kepada sebuah pulau, berbanding perancangan awal sebelum ini.
"Pembangunan projek ‘Silicon Island’ direka bentuk berdasarkan prinsip alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG). Ia dijangka menjadi pusat teknologi terkemuka di rantau ini dan membuka peluang pekerjaan baru dengan menyuntik manfaat ekonomi berkekalan kepada lokaliti setempat.
"Sebagai permulaan, sebanyak 600 peluang pekerjaan berasaskan laut dan darat akan ditawarkan dalam tempoh 18 bulan yang akan datang. Keutamaan akan diberikan kepada nelayan dan juga penduduk tempatan," kata Chow.
Bantahan persatuan nelayan
Sementara itu Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dan Sahabat Alam Malaysia (SAM) merayu kepada kerajaan persekutuan dan negeri untuk tidak meneruskan projek itu.
“Kami amat kesal apabila mengetahui bahawa kerajaan negeri baru sahaja mendedahkan bahawa kerja-kerja projek itu akan bermula hari ini.
"Kami ingin tahu sama ada kerajaan negeri telah mendapat kebenaran merancang untuk memulakan projek di bawah Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976. Ini adalah keperluan undang-undang yang perlu dipatuhi.
“Selepas isu undang-undang, kami berasa terkejut kerajaan Madani meneruskan projek itu walaupun terdapat kebimbangan dan bantahan yang dibangkitkan oleh nelayan termasuk Pen Mutiara, persatuan nelayan rasmi dan Persatuan Nelayan Kawasan Selatan Pulau Pinang (PNKSPP) dan semua unit kampung nelayan di sini," kata presiden CAP Mohideen Abdul Kader dan setiausaha kehormat SAM Mageswari Sangaralingam dalam satu kenyataan bersama.
“Nelayan telah mencabar kelulusan laporan EIA tetapi tiada tarikh pendengaran ditetapkan sehingga kini oleh Lembaga Rayuan yang ditubuhkan di bawah Akta Kualiti Alam Sekitar, 1974.
"Pengurangan projek daripada tiga pulau kepada satu pulau tidak meredakan kebimbangan kami dan komuniti nelayan. Projek ini tidak diperlukan kerana kami telah berhujah berulang kali bahawa tanah di tanah besar adalah lebih daripada mencukupi untuk sebarang pembesaran aktiviti ekonomi," kata mereka.
