Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
JPPM: Dakwaan timbalan presiden Muda isu disenarai hitam kurang tepat
Diterbitkan:  Sep 2, 2023 3:20 PM
Dikemaskini: 7:20 AM

Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (JPPM) menyifatkan dakwaan Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz disenarai hitam daripada memegang sebarang jawatan dalam mana-mana kumpulan berdaftar di Malaysia adalah “kurang tepat”.

JPPM dalam kenyataan medianya yang dikeluarkan hari ini tampil membuat penjelasan itu sebagai respons kepada permohonan semakan kehakiman Adun Puteri Wangsa - yang belum selesai di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur - berhubung senarai hitam yang dikatakan.

“JPPM ingin menegaskan bahawa kenyataan tersebut adalah tidak tepat.

“JPPM ingin menjelaskan bahawa tindakan yang dikeluarkan ke atas beliau adalah berikutan pembatalan pendaftaran Persatuan Ekonomi Merdeka melalui notis yang dikeluarkan di bawah Seksyen 13(1)(c)(iv) pada 28 Okt 2022 oleh Pendaftar Pertubuhan.

“Tindakan tersebut juga mengikat beliau di bawah Seksyen 49 dalam akta yang sama.

"Sehubungan itu, JPPM ingin menegaskan bahawa tindakan yang telah dikeluarkan ini adalah berpandukan kepada segala proses siasatan dan undang-undang yang teratur serta berdasarkan kepada kuasa yang termaktub di dalam Akta Pertubuhan 1966 (Akta 832),” kata JPPM.

Seksyen 13(1)(c)(iv) memperkatakan kuasa jabatan itu untuk membatalkan pendaftaran kumpulan jika ia berpuas hati bahawa pertubuhan itu dengan sengaja melanggar Akta atau peraturan berkaitan.

Seksyen 49(1) menyatakan bahawa jika pendaftaran mana-mana pertubuhan, selain parti politik, telah dibatalkan, mana-mana pemegang jawatan pertubuhan itu pada masa pembatalan itu yang selepas masa itu menjadi atau, selepas tamat tempoh tiga puluh hari daripada pembatalan tersebut, terus kekal sebagai pemegang jawatan mana-mana pertubuhan lain tanpa kebenaran bertulis daripada Pendaftar, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh dipenjara maksimum lima tahun, atau denda tidak melebihi RM15,000, atau kedua-duanya, jika disabitkan oleh mahkamah jenayah.

Seksyen 49(2) memperuntukkan bahawa sekatan yang dikenakan ke atas pemegang jawatan tersebut hendaklah dihentikan apabila tamat tempoh lima tahun dari tarikh pembatalan.

Ketika dihubungi Malaysiakini, pasukan peguam Amira menyatakan bahawa mereka akan membiarkan mahkamah sivil memutuskan perkara itu.

Semalam, Malaysiakini melaporkan bahawa Amira memfailkan tindakan mahkamahnya pada Julai, di mana dia mendakwa telah dimaklumkan mengenai senarai hitam itu melalui e-mel pada April lalu..

Aktivis itu berhujah bahawa senarai hitam yang dikatakan bukan sahaja menghalangnya daripada bertanding untuk sebarang jawatan dalam Muda, tetapi juga menghalangnya daripada memegang jawatan dalam pertubuhan bukan kerajaan (NGO).


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS