Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Zahid dilepas tanpa dibebaskan bagi semua 47 tuduhan
Diterbitkan:  Sep 4, 2023 11:52 AM
Dikemaskini: 4:19 AM

Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi hari ini dibebaskan tanpa dilepaskan pembebasan (DNAA) untuk  47 pertuduhan rasuah, pecah amanah dan pengubahan wang haram membabitkan dana Yayasan Akalbudi.

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur Collin Lawrence Sequerah (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membenarkan DNAA yang dipohon oleh timbalan pendakwa raya Mohd Dusuki Mokhtar.

DNAA membuka kemungkinan Zahid boleh didakwa semula pada masa hadapan jika pihak pendakwa ingin menyemak semula perkara itu.

Peguam Hisyam Teh Poh Teik bagaimanapun supaya Presiden Umno itu diberikan pembebasan penuh.

Sebelum itu pada prosiding pagi tadi, Mohd Dusuki, yang juga adalah ketua Bahagian Rayuan dan Perbicaraan AGC, menggariskan 11 alasan bagi menyokong permohonan agar timbalan perdana menteri itu dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) bagi semua 47 pertuduhan.

Pada 8 Disember tahun lalu dan 25 Jan tahun ini, pasukan pembelaan telah mengemukakan dua surat representasi kepada Peguam Negara Idrus Harun untuk mendapatkan semakan semula kes rasuah itu.

Mengikut undang-undang, surat representasi adalah kaedah untuk tertuduh memohon supaya pendakwa raya menyemak semula kes jenayah terhadapnya, seperti menggugurkan pertuduhan atau tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang lebih ringan.

Idrus yang akan melepaskan jawatannya kini sedang bercuti, dan dia akan digantikan oleh Peguam Cara Negara Ahmad Terrirudin Mohd Salleh yang akan mengambil alih pada Rabu minggu ini.

Perbicaraan di hadapan Sequerah adalah di peringkat pembelaan, berikutan mahkamah jenayah telah memerintahkan Zahid membela diri terhadap pertuduhan pada Januari tahun lepas.

Sequerah kemudian memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan prima facie (kes boleh jawab) terhadap Zahid atas 12 pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan; lapan pertuduhan mengikut Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009; dan 27 pertuduhan mengikut Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001.

Bagi pertuduhan CBT, Zahid didakwa menggunakan dana berkenaan untuk membuat enam pembayaran bagi penggunaan kad kredit peribadinya, polisi insurans dan lesen kenderaan peribadinya, kiriman wang kepada firma guaman dan sumbangan kepada Persatuan Bola Sepak Polis Diraja Malaysia.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Affin Bank Berhad di Jalan Bunus di luar Jalan Masjid India, Kuala Lumpur, antara 13 Jan 2014 dan 23 Dis 2016.

Di bawah Seksyen 409 Kanun Keseksaan, kesalahan CBT boleh dihukum penjara maksimum 20 tahun, serta sebat, dan denda.

Berhubung dengan lapan pertuduhan rasuah itu, Zahid dikatakan telah menerima rasuah daripada tiga firma - Mastoro Kenny IT Consultant & Services, Datasonic Group Bhd dan Profound Radiance Sdn Bhd - sebagai dorongan untuknya, dalam kapasitinya sebagai menteri dalam negeri, untuk membantu syarikat untuk mendapatkan projek MyEG, membekalkan cip pasport, dan masing-masing dilantik sebagai pengendali pusat sehenti visa migran di Pakistan dan Nepal.

Di bawah Seksyen 16(a)(B) Akta SPRM 2009, kesalahan itu didakwa dilakukan di cawangan Maybank di Dataran Maybank, di Jalan Maarof, Bangsar, Kuala Lumpur, antara 15 Julai 2016 dan 15 Mac 2018.

Berhubung 27 pertuduhan pengubahan wang haram, Ahli Parlimen Bagan Datuk itu didakwa terlibat dalam transaksi langsung membabitkan pendapatan daripada aktiviti haram, antara 29 Mac 2016 dan 11 April 2018.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di Malayan Banking Berhad, cawangan Dataran Maybank, Tingkat 1, Menara A, No 1 Jalan Maarof, Bangsar dan Marhaba Enterprise Sdn Bhd, LG 1.15, Fahrenheit88, 179 Jalan Bukit Bintang, Kuala Lumpur, antara 29 Mac 2016 , dan 11 April 2018.

Semasa peringkat pendakwaan perbicaraan yang bermula pada 18 Nov 2019 dan berakhir pada Mac 2021, 99 saksi dipanggil untuk memberi keterangan - termasuk bekas pegawai khas Zahid Wan Ahmad Wan Omar serta bekas setiausaha eksekutif tertuduh Mejar Mazlina Mazlan@Ramly .

Saksi lain yang tampil untuk pendakwaan termasuk B Muralidharan, rakan kongsi firma guaman Lewis & Co, dan pengurup wang Omar Ali Abdullah.


Lihat Komen
ADS