Ahli Majlis Ulama Umno Khairuddin Aman Razali mendakwa langkah kerajaan Terengganu untuk membabitkan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam pilihan jawatankuasa masjid bagi membolehkan masjid dikuasai parti politik.
Bekas pemimpin PAS itu berkata perkara itu akan menyebabkan perpaduan antara rakyat yang diharapkan sukar dicapai.
"Kerajaan PAS Terengganu hari ini mengumumkan pemilihan jawatankuasa Masjid akan melibatkan JPKK.
"Maksudnya jelas supaya parti pemerintah dapat menguasai semua masjid kerana umum mengetahui JPKK adalah dari kalangan AJK cawangan PAS di kampung-kampung.
"Politik kepartian akan mewarnai masjid dan perpaduan yang diharapkan akan bertukar menjadi perpecahan. Akan berlaku nanti AJK masjid yang tak hadir ke masjid," dakwanya dalam hantaran di Facebook hari ini.

Langkah melibatkan JPKK itu dimaklumkan oleh Exco Penerangan, Dakwah dan Pemerkasaan Syariah Terengganu Muhammad Khalil Abdul Hadi hari ini.
Muhammad Khalil berkata ia bagi memastikan kelancaran pelantikan jawatankuasa masjid di seluruh kariah.
"JPKK akan dilibatkan secara langsung dalam proses pelantikan tersebut.
"Dengan mengambil kira bidang kuasa Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (Maidam) dan Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) dalam pelantikan ahli jawatankuasa masjid, maklumat berkaitan dengan pelantikan AJK Masjid dapat disampaikan dengan kerjasama JPKK.
"Langkah ini diambil bagi memastikan proses pelantikan berlangsung dengan harmoni, telus dan berkesan," kata Muhammad Khalil yang juga Adun Jabi dalam kenyataan.
Sementara itu, Khairuddin berkata pemilihan jawatankuasa masjid tidak seharusnya dipengaruhi sokongan politik.
"Maidam wajar melihat perkara ini dengan lebih halus. Pemilihan AJK masjid hendaklah di kalangan ahli kariah yang sentiasa memakmurkan masjid tersebut meskipun apa warna baju politiknya," katanya lagi.
