Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bekas ketua polis daerah hadapi 46 pertuduhan rasuah

Seorang bekas ketua polis daerah hari ini mengaku tidak bersalah atas 46 pertuduhan rasuah berjumlah RM70,600 yang didakwa dilakukan antara 2019 dan 2023.

Pengakuan itu dibuat tertuduh, Mohd Azhar Mohd Yusoff, 53, di Mahkamah Sesyen Kuantan, hari ini.

Tertuduh meminta dibicarakan selepas semua pertuduhan selesai dibacakan dalam masa kira-kira 45 minit oleh dua penterjemah mahkamah di hadapan hakim Ahmad Zamzani Mohd Zain.

Mengikut kertas pertuduhan, Mohd Azhar didakwa menerima barangan berharga iaitu wang tunai antara RM100 dan RM5,600 daripada beberapa individu dan syarikat yang mempunyai kaitan dengan tugas rasminya di Temerloh, Pahang.

Wang itu diterima melalui pemindahan dalam talian ke akaun miliknya antara Mac 2019 hingga Jan lalu bagi melindungi pengadu daripada tindakan penguatkuasaan.

Mohd Azhar didakwa melakukan kesalahan itu ketika dia berpangkat superintendan dan bertugas di Ibu Pejabat Polis Daerah Temerloh, sebelum dinaikkan pangkat menjadi asisten komisioner.

Dia didakwa mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan dan jika sabit kesalahan, dia boleh dipenjara sehingga dua tahun atau denda, atau kedua-duanya sekali.

Tertuduh juga mengaku tidak bersalah terhadap 46 pertuduhan alternatif mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009, yang boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh timbalan pendakwa raya SPRM Ahmad Feisal Mohd Azmi, Rasyidah Murni Azmi dan Rifah Izzati Abdul Mutalif manakala Azhar diwakili peguam, Bob Arumugam dan Najib Zakaria.

Ahmad Feisal memohon jaminan RM40,000 dengan seorang penjamin bagi semua pertuduhan beserta tiga syarat tambahan iaitu melaporkan diri di pejabat SPRM Pahang, menyerahkan pasport antarabangsanya kepada mahkamah, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Arumugam pula dalam hujah pembelaan bagaimanapun memohon jumlah jaminan dikurangkan.

"Dia sudah berkhidmat sebagai ketua polis daerah Temerloh dan telah dipindahkan ke Ibu Pejabat Polis Kontinjen Pahang.

"Isterinya sakit sejak beberapa bulan lalu selepas menjalani pembedahan," katanya.

Hakim kemudiannya menetapkan ikat jamin RM25,000 dengan tiga syarat tambahan.

Tertuduh juga diarah melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan, bermula Sept ini sehingga kes selesai.

Mohd Azhar juga perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah, dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.

Ahmad Zamzani menetapkan 15 Nov ini untuk sebutan semula kes berkenaan.

Lihat Komen
ADS