Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bung Moktar, isteri bebas pertuduhan kes rasuah RM2.8 juta

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan permohonan Ahli Parlimen Kinabatangan Bung Moktar Radin dan isterinya Zizie Izette Abdul Samad untuk membatalkan perintah supaya mereka membela diri dalam kes rasuah RM2.8 juta.

Hakim Azhar Abdul Hamid petang ini membenarkan permohonan semakan oleh pasangan itu, yang menyasarkan keputusan Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur tahun lepas.

Kelihatan Zizie menangis di dalam kandang tertuduh sambil suaminya duduk di sebelahnya.

Azhar memerintahkan pasangan itu dilepaskan dan dibebaskan (DAA) daripada semua pertuduhan jenayah.

Pada 2 Sept tahun lepas, hakim perbicaraan mahkamah rendah Rozina Ayob memutuskan bahawa pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie (boleh bertanggungjawab) terhadap Bung dan Zizie, dan memerintahkan kedua-dua mereka membela diri atas pertuduhan rasuah berjumlah RM2.8 juta berkaitan pelaburan unit amanah.

Semasa prosiding mahkamah terbuka hari ini, Azhar memutuskan bahawa ini adalah kes yang wajar untuk mahkamah jenayah menggunakan budi bicara melibatkan kuasa penyemakan.

"(Terdapat) salah laksana keadilan (miscarriage of justice), (dengan itu memerlukan) kuasa semakan. Keputusan prima facie diketepikan dan ia digantikan dengan pelepasan dan dibebaskan," kata Azhar.

Ketika ditemui media di pintu masuk Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur petang tadi, Bung dilihat tersenyum, sambil Zizie yang menahan sedu berdiri di sebelahnya.

"Syukur alhamdulillah atas pembebasan saya dan isteri. Saya berterima kasih kepada mereka yang menyokong kami selama ini," kata Bung.

Ketika diminta mengulas mengenai masa pembebasan pasangan itu berikutan pelepasan tanpa pembebasan (DNAA) Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi daripada kes rasuah yang dikaitkan dengan Yayasan Akalbudi, Bung menafikan kaitan kedua-dua kes.

"Dalam kes kami, kami melihat hakim membuat keputusan terbaik. Kami telah dibicarakan selama lima tahun, jadi ia (DNAA Zahid) tidak berkaitan antara satu sama lain.

"Hakim mengambil maklum bahawa saya (dan Zizie) perlu dibebaskan kerana pihak pendakwaan sebenarnya gagal membuktikan kesnya (secara prima facie).

"Dua saksi utama pendakwaan berbohong, dan dengan itu Mahkamah (Tinggi) tidak dapat menerima keterangan mereka," kata Bung lagi.

Dua saksi pendakwaan terbabit ialah saksi ke-24, ejen Public Mutual Madhi Abdul Hamid, dan saksi ke-25, perunding unit amanah Norhaili Ahmad Mokhtar.

Sementara itu, timbalan pendakwa raya Law Chin How berkata mereka akan mendapatkan arahan daripada pihak atasan di Jabatan Peguam Negara (AGC) sama ada akan merayu ke Mahkamah Rayuan.

Pada 3 Mei 2019, Bung minta dibicarakan atas tiga pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.8 juta untuk mendapatkan kelulusan Felcra Bhd melabur RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Mengikut pertuduhan pertama, Bung, yang ketika itu pengerusi bukan eksekutif Felcra, didakwa menerima rasuah wang tunai RM2.2 juta daripada Madhi, melalui Zizie, di cawangan Public Bank Taman Melawati di Kuala Lumpur antara 12.30 tengah hari dan 5 petang pada 12 Jun 2015.

Bagi pertuduhan kedua, Bung didakwa menerima suapan wang tunai RM262,500 daripada Madhi menerusi akaun Public Islamic Treasures Growth Fund (PITGF) bernombor 044797816 yang didaftarkan atas nama Zizie, untuk tujuan sama.

Bung juga didakwa menerima suapan wang tunai RM337,500 daripada Norhaili menerusi akaun Public Ittikal Sequel Fund (Pitseq) bernombor 044797824 yang didaftarkan atas nama Zizie.

Dua kesalahan terakhir itu didakwa dilakukan di lokasi sama pada 12.16 tengah hari dan 12.28 tengah hari pada 19 Jun 2015.

Zizie turut didakwa menerima wang tunai RM337,500 daripada Norhaili, atas nama Zizie Izette atas sebab dan di tempat yang sama pada 19 Jun 2015, manakala Zizie menghadapi tiga pertuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu di tempat, tarikh dan masa yang sama.

Pada 17 Mei tahun lalu, pihak pendakwaan menutup kes selepas memanggil 30 saksi untuk memberi keterangan pada perbicaraan mahkamah rendah yang bermula pada 2 Jan 2020.

Selain Madhi dan Norhaili, antara saksi pendakwaan lain yang dipanggil memberi keterangan ialah bekas menteri kewangan II Ahmad Husni Mohamad Hanadzlah, bekas pengurus besar Felcra Investments Adnan Yusof, ahli lembaga pengarah Felcra Habibah Suleiman, dan penolong penguasa SPRM Norsharil Saharom.

Bung dan Zizie diwakili peguam M Athimulan dan K Kumaraendran.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS