Pemakaian seragam sekolah telah sekian lama dilaksanakan semenjak kita mencapai kemerdekaan.
Sejak 1970, Kementerian Pendidikan (KPM) memulakan langkah yang lebih tersusun dalam mewajibkan semua murid sekolah rendah dan menengah untuk memakai pakaian seragam sekolah.
Ibu bapa saban tahun menjadikan hujung tahun sebagai masa terbaik untuk bersama anak-anak menyediakan kelengkapan persekolahan dan membeli pakaian seragam.
Menjadi kewajipan kepada ibu bapa jika dapat menyediakan pakaian seragam sekolah daripada pelbagai jenama dan seperti satu pesta hujung tahun dengan diskaun menarik diberikan oleh pasar raya.
Menjadi kebanggaan juga kepada anak-anak jika dapat memakai pakaian seragam sekolah yang baru di awal tahun beserta lencana sekolah yang menjadi mercu kepada bermulanya persekolahan baru setiap tahun.
Namun, pada 3 Oktober 2021, menteri kanan pendidikan Radzi Jidin memberikan kelonggaran kepada murid-murid untuk tidak memakai pakaian seragam sekolah jika pakaian mereka sudah tidak muat.
Namun begitu, murid-murid diwajibkan memakai uniform sekolah kembali bermula 12 Jun 2022.
Pada 2 Mei 2023, KPM sekali lagi mengeluarkan arahan agar murid-murid sekolah dibenarkan memakai pakaian sukan untuk hadir ke sekolah kerana keadaan cuaca panas yang keterlaluan yang boleh memberi kesan kepada murid-murid.
Namun sehingga ke hari ini tiada arahan baru yang dikeluarkan oleh KPM sedangkan cuaca telah kembali seperti sedia kala.
Rentetan arahan KPM terhadap pemakaian seragam sekolah yang semakin longgar menyebabkan murid-murid sudah mulai selesa untuk tidak lagi mengenakan pakaian seragam ketika memasuki kawasan sekolah.
Makin dilupakan
Ketiadaan arahan yang terkini dalam isu pemakaian seragam sekolah menjadikan murid-murid hadir ke sekolah sesuka hati dengan pemakaian baju sukan pelbagai warna. Keadaan ini menjadikan pakaian seragam semakin dilupakan.
Bilakah arahan baru akan dikeluarkan?
Sekolah tidak mempunyai kuasa untuk mengarahkan murid-murid untuk kembali memakai pakaian seragam kerana arahan daripada pihak atasan masih tidak dikeluarkan.
Meninjau keadaan semasa di sekolah, kelihatannya, ketika perhimpunan sekolah pada hari Isnin, hanya beberapa orang pelajar sahaja yang mengenakan pakaian seragam sekolah sedangkan 98 peratus daripada murid-murid berpakaian baju dan kasut sukan.
Agak cacat pemandangan pada perhimpunan sekolah dengan murid-murid yang memakai baju sukan pelbagai warna dan tidak memakainya dengan kemas.
Gambaran ini menunjukkan murid-murid sudah selesa ke sekolah dengan berpakaian kasual sedangkan seragam sekolah menjadi kebanggaan murid-murid suatu ketika dahulu.
Segak bertali leher dengan pakaian seragam berlencana tidak lagi diendahkan oleh murid-murid sedangkan seragam sekolah sedikit sebanyak membentuk jati diri murid-murid ketika di alam persekolahan.
Pertembungan pendapat pastinya berlaku apabila arahan baru daripada KPM dikeluarkan kerana ibu bapa juga sudah selesa dengan budaya pemakaian baju sukan oleh anak-anak mereka.
Pakaian seragam sekolah yang dulunya menjadi kemegahan zaman persekolahan dilihat oleh ibu bapa sebagai tidak lagi bermakna.
Baju sukan lebih jimat
Ibu bapa merasakan lebih jimat membeli baju sukan yang lebih murah berbanding set seragam sekolah yang rata-rata mencecah ratusan ringgit.
Justeru, KPM seharusnya bertegas dalam situasi ini terutama dengan arahan yang lebih jelas mengikut “Surat Pekeliling Ikhtisas 3/1983: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah” dan “Surat Pekeliling Ikhtisas Bil. 8/1985: Pakaian Seragam Murid-Murid Sekolah (Pindaan)” yang dibuat sebelum ini.
Ia masih terpakai melainkan arahan drastik yang memerlukan tindakan segera mengikut situasi semasa.
Mengembalikan kegemilangan dan kebanggaan sekolah sebagai sebuah institusi pendidikan dengan beberapa peraturan dan arahan yang perlu dipatuhi akan menjadikan sekolah bukan sahaja sebuah tempat menimba ilmu malahan menjadi tempat bersosialisasi dan membentuk jati diri.
Sekolah yang tidak asing lagi sebagai tempat membentuk disiplin berasaskan Rukun Negara dan dalam masa yang sama murid-murid diasuh dengan satu jenama sekolah dengan pemakaian seragam sekolah dan bersatu padu bawah satu lencana.
Mengapa semua ini tidak dipandang sebagai satu wadah yang baik terhadap pelajar dan sekolah? Mengapa perlu kita menidakkan elemen yang telah dibina sekian lama di sekolah dan cuba melenyapkan sesuatu yang baik untuk pembentukan jati diri pelajar?
KPM perlu bertegas dalam soal ini.
Arahan yang jelas perlu dikeluarkan supaya sekolah dapat memahamkan ibu bapa untuk kembali kepada keadaan asal, yang murid-murid berpakaian seragam sekolah dan hanya pada hari-hari tertentu sahaja dibenarkan berpakaian sukan.
Situasi menang-menang ini diharapkan dapat mengembalikan kegemilangan sekolah dalam membentuk disiplin dan jati diri murid-murid agar sekolah dapat menghasilkan modal insan yang bangga dengan apa yang mereka peroleh dari sekolah.
Seragam sekolah yang menjadi satu kebanggaan semua murid dengan lencana sekolah yang mengikat jiwa mereka untuk meningkatkan kecemerlangan sekolah sepatutnya dikekal.
KPM harus mengambil langkah yang proaktif bagi memperkasakan pemakaian seragam sekolah dan dalam masa yang sama dapat mengekalkan budaya dan tradisi yang telah terbina sekian lama.
ABD RAZAK ZAKARIA merupakan pengerusi Pusat Penyelidikan dan Pembangunan Keluarga Universiti Malaya (UMFRDC), dan boleh dihubungi di [email protected].
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
