Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Tukar agama: Aktivis tuntut janji Abang Jo 5 tahun lalu
Diterbitkan:  Sep 8, 2023 6:49 PM
Dikemaskini: 10:51 AM

Dua aktivis Sarawak mengingatkan premier negeri itu Abang Johari Openg terhadap janjinya pada 2018 untuk meminda undang-undang bagi menyediakan garis panduan jelas berhubung penukaran agama.

Pindaan itu supaya pihak terlibat hanya perlu mendapatkan surat pelepasan keluar Islam secara proses pentadbiran tanpa perlu merujuk kepada mahkamah.

“Kami mahu premier Sarawak menunaikan janjinya untuk meminda undang-undang negeri berkaitan penukaran agama, susulan kes mahkamah melibatkan beberapa orang yang mahu keluar Islam,” kata Peter John Jaban dan Bill Jugah.

Peter John Jaban

Jaban ialah timbalan presiden Persekutuan Hak Asasi Manusia Sedunia manakala Jugah pula ialah presiden Gabungan Bebas Orang Asal.

Semalam, Malaysiakini melaporkan berkaitan kes mahkamah seorang wanita yang mahu membuang status Islam pada kad pengenalan anaknya yang berumur 17 tahun, di negeri itu.

Afidavit remaja itu antaranya menyebut dia tidak pernah mengamalkan Islam walaupun bapanya seorang Islam.

Malah, katanya, bapanya tidak membantahnya menganut ajaran Buddha dan menyokong permohonan anaknya itu kepada pihak Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

Orang tuanya telah bercerai dan remaja itu dibesarkan oleh ibunya.

Lima tahun lepas, Abang Johari berkata Sarawak akan meminda undang-undang penukaran agama, susulan kes mahkamah melibatkan tiga pemohon yang mahu keluar Islam.

“Kita akan pinda kelemahan dalam undang-undang syariah kita dalam berdepan kes murtad. 

“Mesti ada SOP (standard operasi piawai) kerana kita tidak boleh biarkan (status) mereka ini tergantung.

“Beri saya enam bulan untuk lakukan perkara ini. Sarawak harus ada dasar yang praktikal dan liberal,” kata Abang Johari pada masa itu.

Sementara itu, Peter berkata, kes-kes di Mahkamah Syariah mengambil masa yang terlalu lama dan tiada kepastian sama seseorang itu dibebaskan daripada satu-satu agama.

“Kebanyakan proses sekarang di mahkamah syariah dan setakat ini tiada yang selesai,” katanya.

Bill berkata dia sendiri telah menemui 20 individu yang berdepan isu ini.

“Perkara ini kebanyakan berpunca daripada kes perceraian dan majoriti wanita yang terkesan masih dalam usia produktif, usia melahirkan anak.

“Apabila bercerai dengan pasangan Islam, mereka berdepan dengan stigma sosial dan dijauhi oleh pihak berpotensi sebagai jodoh atau bakal suami dari  kaum mereka sendiri kerana status agamanya yang tergantung.

“Lebih mudah jika kes sebegini diselesaikan daripada dipanjangkan,” katanya.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

ADS