Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Pesuruhjaya Suhakam digesa letak jawatan
Diterbitkan:  Sep 10, 2023 2:48 PM
Dikemaskini: 6:48 AM

Pesuruhjaya Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) berdepan gesaan supaya meletakkan jawatan atau disingkirkan susulan pengendalian aduan yang dibuat terhadap bekas pengerusinya, Rahmat Mohamad.

Pertubuhan Rakyat Malaysia Menentang Hukuman Mati dan Penyeksaan (Madpet) berkata kegagalan pesuruhjaya menyiasat aduan secukupnya dan kemudian merujuk kepada Jabatan Perdana Menteri menimbulkan kebimbangan mengenai kebebasan Suhakam.

“Suhakam adalah institusi hak asasi manusia kebangsaan rakyat Malaysia dan ia mesti sentiasa bebas dan dilihat bebas, terutamanya daripada kerajaan.

“Dengan meminta bahagian di Jabatan Perdana Menteri menangani siasatan aduan yang dikemukakan kepada Suhakam, ia mungkin memberi tanggapan salah bahawa Suhakam dinaungi Jabatan Perdana Menteri.

“Dengan lapan pesuruhjaya, siasatan terhadap seorang rakan pesuruhjaya masih perlu dilakukan oleh Suhakam,” kata jurucakap Madpet, Charles Hector dalam satu kenyataan, semalam.

Rahmat Mohamad

Dia merujuk kepada Seksyen 10 Akta Suhakam yang menyatakan bahawa mana-mana pesuruhjaya yang berkelakuan buruk atau berkelakuan sebagai mencemarkan nama baik suruhanjaya itu atau bercanggah dengan tugasnya sebagai sebab untuk hilang kelayakan dan penyingkiran daripada jawatan itu.

Dalam kes ini, katanya pesuruhjaya berkenaan gagal menjalankan tugas mereka untuk menyiasat aduan terhadap bekas ketua pesuruhjaya Suhakam itu.

Selain itu, pihak Madpet terkejut apabila Rahmat dilantik sebagai pengerusi lembaga penasihat Pusat Timbang Tara Antarabangsa Asia (AIAC) pada 23 Ogos lalu.

Rahmat meletakkan jawatannya sebagai pengerusi Suhakam berkuat kuasa 31 Ogos.

“Madpet berpendirian bahawa adalah salah bagi menteri atau kerajaan untuk melantik pesuruhjaya Suhakam yang sedang menjawat jawatan lain, mungkin yang mempunyai elaun, imbuhan atau kuasa. Ia berbeza jika pelantikan itu dibuat lama selepas dia berhenti menjadi pesuruhjaya, tetapi ia tidak berlaku di sini.

"Ini menjejaskan kebebasan Suhakam dan pesuruhjaya," tambah Hector.

Madpet juga meminta permohonan maaf dan penjelasan daripada Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Pembaharuan Institusi) Azalina Othman Said berhubung pelantikan Rahmat ke AIAC.

Tegas Hector, kedudukan Rahmat dalam AIAC juga harus dibatalkan serta-merta untuk mengesahkan pengakuan kerajaan bahawa Suhakam adalah sebuah institusi yang benar-benar bebas.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS