Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
AMK gesa Muda - jangan curi kerusi parlimen Muar
Diterbitkan:  Sep 10, 2023 9:33 PM
Dikemaskini: Sep 11, 2023 12:59 AM

Pemuda PKR (AMK) menggesa Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengosongkan kerusi parlimennya berikutan keputusan meninggalkan blok kerajaan di Parlimen hari ini.

Ketua Penerangan AMK, Haziq Azfar Ishak berkata ini kerana Muda memenangi kerusi parlimen tersebut dengan sokongan PH.

"Umum mengetahui kerusi parlimen Muar yang dimenangi olehnya disumbang oleh kekuatan sokongan, jentera dan pengaruh dari Pakatan Harapan yang memeterai electoral pact (kerjasama pilihan raya) dengan parti Muda.

"Kegagalan beliau mengosongkan kerusi adalah tindakan mencuri kerusi Parlimen Muar dengan menjadikannya sebagai third force serta satu pengingkaran terhadap mandat rakyat di Parlimen Muar yang memilih parti Muda sebagai electoral pact bersama Pakatan Harapan," ujarnya.

Terdahulu, Syed Saddiq hari ini mengumumkan keluar daripada blok kerajaan dan menyatakan akan berada di blok pembangkang sebagai kuasa ketiga.

Keputusan itu telah disampaikan kepada Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul.

Langkah itu bagaimanapun tidak melanggar undang-undang antilompat parti memandangkan Muda bertanding atas tiket sendiri dan bukannya PH pada pilihan raya umum (PRU) lalu.

Dalam pada itu Haziq turut menggesa Syed Saddiq mengikut jejak langkah pemimpin veteran Umno Shahrir Samad yang mengosongkan kerusi parlimen Johor Bahru pada 1988.

Pada tahun tersebut, Shahrir meletak jawatan sebagai Ahli Parlimen selepas dipecat daripada Umno, menyebabkan pilihan raya kecil diadakan. Kerusi itu kemudiannya dimenangi Shahrir sebagai calon Bebas.

"Syed Saddiq digesa melakukan perkara yang sama," katanya.

Pada 1990 - dua tahun selepas Shahrir mengosongkan kerusi parlimen Johor Bahru- kerajaan ketika itu meminda Perlembagaan Persekutuan untuk menghalang ahli parlimen yang meletak jawatan daripada bertanding dalam pilihan raya selama lima tahun.

Bagaimanapun, peraturan itu dibatalkan tahun lepas susulan penggubalan undang-undang antilompat parti.

Tindakan Muda menarik balik sokongan terhadap kerajaan sekali gus menyebabkan kerajaan kurang satu kerusi untuk membentuk majoriti dua pertiga di parlimen.

Muda membuat keputusan itu sebagai protes terhadap tindakan pendakwa raya memohon Timbalan Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi dilepas tanpa dibebaskan (DNAA) atas 47 pertuduhan rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.

Bagaimanapun, Muda berkata parti itu tetap komited untuk menyokong usaha kerajaan dalam melaksanakan agenda reformasi institusi yang memerlukan undi dua pertiga di Dewan Rakyat.

Cukup-cukuplah, kata Pemuda Amanah

Sementara itu, seorang ketua Pemuda Amanah menyuarakan pendapat berbeza dengan Pemuda PKR mengenai gesaan agar Syed Saddiq mengosongkan parlimen Muar.

Bagi exco Pemuda Amanah, Fadhli Umar Aminolhuda, cukuplah Syed Saddiq tidak lagi berada dalam blok kerajaan.

"Tiada lagi pilihan raya kecil! Anak muda sudah muak, anak muda sudah penat dengan perangai ahli politik yang gilakan kuasa. Enough is enough (Cukup-cukuplah)!" katanya yang menyifatkan Muda sebagai 'lupa daratan'

"Semoga episod ngeri bersama sebuah parti yang lupa daratan yang menunggang anak Muda ini menjadi pengajaran penting buat kita semua khususnya dalam Parti AMANAH Negara," katanya.

Lihat Komen
ADS