Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Subsidi bersasar antara 17 anjakan besar dalam KSP RMK-12
Diterbitkan:  Sep 11, 2023 12:17 PM
Dikemaskini: 4:20 AM

Kerajaan persekutuan akan memperkenalkan subsidi bersasar untuk menyasarkan semula semua jenis subsidi seperti elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain.

Ini berdasarkan kerangka kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-12 yang dibentangkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Dewan Rakyat pagi ini.

Subsidi bersasar merupakan salah satu daripada 17 anjakan besar (big bolds) yang diketengahkan kerajaan untuk memangkin pembangunan sosioekonomi sehingga 2025.

"Usaha akan diambil untuk melaksanakan subsidi bersasar sebagai satu daripada anjakan besar dalam memastikan kumpulan sasar yang tepat mendapat manfaat daripada bantuan yang disediakan serta memastikan perbelanjaan fiskal yang berhemat," menurut laporan kerangka KSP RMK12 berkenaan.

Selain itu, bawah Anjakan Besar Subsidi Bersasar, Pangkalan Data Utama (Padu) akan dibangunkan sebagai repositori data untuk menyokong pengagihan subsidi dan bantuan bersasar dengan tepat dan telus bagi menangani isu sosioekonomi setiap isi rumah.

"Data mikro hampir masa nyata berkaitan individu seperti demografi, pendapatan dan bantuan sosial akan disimpan dalam platform ini sebagai rujukan kepada agensi kerajaan.

"Di samping itu, PADU akan menyediakan akses kepada individu untuk membuat semakan dan mengemas kini data peribadi.

Dalam hubungan ini Kerajaan akan memastikan aspek kerahsiaan dan keselamatan data adalah terpelihara.

"PADU akan dimanfaat sebagai sistem rujukan berpusat untuk menyasarkan pemberian bantuan berdasarkan pendapatan boleh guna isi rumah. Antara subsidi ini termasuk elektrik, diesel dan petrol serta bantuan sosial lain,” menurut kerangka berkenaan.

Penjimatan daripada penyasaran semula subsidi akan digunakan untuk membiayai projek dan program sosioekonomi bagi memberi manfaat kepada rakyat.

Bagaimanapun peralihan kepada subsidi bersasar merupakan langkah berisiko dari segi politik, memandangkan ramai rakyat Malaysia yang menikmati subsidi sejak sekian lama mungkin tidak lagi mendapat manfaat terbabit.

Subsidi bahan api RON 95 sebagai contoh kini dinikmati oleh semua rakyat Malaysia tanpa mengira pendapatan.

Bagaimanapun mekanisme bersasar berdasarkan pendapatan boleh guna isi rumah berkemungkinan akan menyebabkan tindak balas negatif.

Kerajaan terdahulu sejak pentadbiran Abdullah Ahmad Badawi telah cuba menangani isu subsidi bahan api tetapi tidak berjaya atas pelbagai sebab termasuk mendapat tentangan keras daripada orang ramai dan kekurangan data, terutama bagi rakyat Malaysia yang bekerja di sektor tidak formal.

Sidang khas Dewan Rakyat selama enam hari, yang bermula hari ini, akan memberi tumpuan kepada pembentangan Kajian Separuh Penggal RMK-12.

Kajian semula itu dijalankan untuk menilai pencapaian rancangan lima tahun dalam dua tahun pertama (2021-2022) dan hala tuju tiga tahun akan datang (2023-2025) ke arah mencapai negara yang mampan, makmur dan berpendapatan tinggi, dengan mengambil kira cabaran domestik semasa dan arah aliran global.

RMK12 dibentangkan oleh perdana menteri kesembilan Ismail Sabri Yaakob pada 27 Sept 2021, dengan anggaran peruntukan pembangunan sebanyak RM400 bilion.

[Baca berita asal]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS