KOMENTAR | Pemuda Amanah terbuka menerima keputusan Muda keluar dari kerajaan Madani dan menyertai blok pembangkang bersama PN.
Keluarnya Muda tidak merencatkan kerajaan yang masih menguasai 66.2 peratus kerusi di Parlimen. Kali terakhir seorang perdana menteri mempunyai sokongan sekuat ini ialah pada 15 tahun lalu.
PN pula tidak menerima sebarang manfaat susulan tindakan Muda. Syed Saddiq Syed Abdul Rahman sepatutnya tahu Muda akan ditendang oleh pengundi jika mereka 'tidur sekatil' dengan parti-parti ekstrem seperti PAS dan Bersatu.
Sementara itu PH terus tekal sebagai parti reformis dengan memperjuangkan kebebasan institusi negara termasuk Jabatan Peguam Negara.
Dalam kes lepas tanpa bebas (DNAA) Presiden Umno Ahmad Zahid Hamidi, keputusan berkenaan tidak dipengaruhi oleh kabinet, malah pihak pendakwaan juga telah menerangkan 11 sebab di sebalik langkah mereka menghentikan prosising tersebut.
Namun Syed Saddiq dan Muda membutakan diri daripada realiti. Apa yang jelas mereka hanyalah melepaskan dendam selepas tidak diterima menjadi komponen PH.
Pun begitu tidak mengapalah, kita masih ada empat tahun lagi sebelum PRU berikutnya. Pada masa sama pintu masih terbuka untuk Muda kembali menyokong pembaharuan dasar dan reformasi institusi kerajaan Madani.
Pemuda Amanah terus berpegang pada prinsip tidak bertolak ansur terhadap amalan rasuah, dan komited terhadap agenda reformasi.
Giat lakukan perubahan
Tidak sampai 10 bulan memerintah, kerajaan Madani sudah melaksanakan pelbagai pembaharuan yang turut mendapat sokongan para pelabur antarabangsa.
Berikut adalah beberapa inisiatif kerajaan untuk perhatian Syed Saddiq:
* Dasar gaji progresif untuk menaikkan pendapatan rakyat
* Pelan hala tuju peralihan tenaga begara untuk reformasi sektor tenaga boleh diperbaharui Malaysia
* Kerangka ekonomi Madani untuk melonjakkan pertumbuhan ekonomi negara
* Pelan induk perindustrian baru untuk transformasi sektor pembuatan negara
* Fokus terhadap pelaburan langsung domestik - yang diabaikan sebelum ini - untuk membangunkan lebih banyak syarikat tempatan yang berkapasiti besar
* Pengenalan subsidi Bersasar untuk golongan B40, M40 dan penjaja kecil
* Reformasi prosedur Bursa Malaysia untuk meningkatkan daya saing pasaran modal negara dan memudahkan penyenaraian syarikat
* Pengukuhan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) untuk memainkan peranan lebih besar dalam pembuatan dasar
* Dasar antialibaba untuk pelaksanaan projek bagi mengelakkan ketirisan (dalam proses)
* Penubuhan jawatankuasa khas penilaian undang-undang bagi mengubah akta - terutamanya berkaitan pelaburan - sebagai langkah memperkasakan penguatkuasaan (dalam proses).
Apa yang dinyatakan di atas hanyalah 10 daripada inisiatif kerajaan dalam tempoh hanya 10 bulan. Perdana Menteri Anwar Ibrahim dan barisan menteri sedang giat melakukan perubahan bermakna untuk negara.

Pemuda Amanah sedar masih banyak reformasi struktur diperlukan. Kegagalan kerajaan terdahulu masih perlu dipulihkan.
Misalnya, kerajaan kegagalan teruk Muhyiddin Yassin dalam pelaksanaan teknologi komunikasi 5G yang seterusnya dikritik di peringkat dunia.
Masalah ini hanya selesai selepas kerajaan Madani mengambil alih. Pemulihan seperti ini akan diteruskan.
Namun perlu diakui bahawa kerajaan tidak boleh gelojoh dalam melaksanakan agenda reformasi. Jika terlalu cepat, akan berlaku tentangan dari dalam sistem seperti yang kita lihat pada tempoh 2018 dan 2019.
Nasihat saya kepada Muda, silalah berpijak pada realiti. Kepada ahli-ahli Muda, jika anda berminat untuk menjadi sebahagian daripada reformasi berterusan kerajaan Madani, pintu Pemuda AManah sentiasa terbuka.
HASBIE MUDA ialah Ketua Pemuda Amanah merangkap ahli Dewan Negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
