Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Bukan ‘abang besar’ - Kerajaan jamin pangkalan data Padu selamat
Diterbitkan:  Sep 13, 2023 4:08 PM
Dikemaskini: 8:16 AM

EKSKLUSIF l Pengumuman kerajaan mengenai sistem pangkalan data utama (Padu) yang boleh menyediakan profil sosio-ekonomi semua 10 juta isi rumah di Malaysia disambut dengan pelbagai reaksi.

Antara kebimbangan yang diluahkan mengenai Padu, yang diumumkan semasa kajian separuh penggal Rancangan Malaysia ke-12, ini akan mewujudkan era kerajaan ‘abang besar’ dan pengawasan yang lebih tinggi di Malaysia.

Istilah Big Brother dipopularkan oleh pengarang terkenal dunia George Orwell dalam novelnya bertajuk 1984, yang merujuk kepada pemantauan kerajaan dalam semua aspek kehidupan.

Sebelum ini, pelbagai insiden kebocoran data awam telah mengundang kebimbangan mengenai keselamatan pangkalan data sedemikian.

Tetapi Menteri Ekonomi Rafizi Ramli, yang menerajui inisiatif itu, menolak tanggapan tersebut dan yakin pangkalan data berkenaan tidak akan mencabuli kehidupan peribadi dan perlindungan data individu.

“Bagi saya, selagi tiada CCTV untuk mengesan orang ramai, saya tidak fikir itu adalah ‘abang besar’, katanya kepada Malaysiakini dalam satu temu bual di kementeriannya semalam.

Sebenarnya dengan ada pangkalan data pusat menjadi lebih selamat, kata Rafizi. Ini daripada mempunyai data peribadi yang disimpan di 270 badan kerajaan, badan berkanun dan agensinya, di mana data Padu dikumpulkan.

“Melakukan ini sebenarnya adalah pengurangan risiko yang lebih baik untuk keselamatan siber berbanding sebelum ini.

“Apabila kita mempunyai pangkalan data yang begitu besar, ini bermakna keupayaan keselamatan siber kita mestilah lebih baik berbanding sebelum ini.

"Tetapi sekali lagi, ini bermakna bahawa mengumpulkan semua sumber bersama dan daripada mencari begitu banyak bakat dan tenaga kerja, adalah lebih baik untuk mempunyai satu pasukan, dan memberi tumpuan kepada pangkalan pusat.

"Semua ini adalah risiko yang kami sedar sepenuhnya dan kita perlu meletakkan pasukan yang betul untuk menguruskannya."

Rafizi berkata Padu akan diuruskan sepenuhnya oleh kerajaan, dengan Jabatan Perangkaan (DOSM) dan Unit Pemodenan Tadbiran dan Perancangan Pengurusan Malaysia (Mampu) membentuk pasukan teras manakala Kementerian Ekonomi memberi hala tuju.

“Ia 100 peratus kerajaan. Tiada vendor swasta terlibat dan saya menegaskan bahawa kita perlu membangunkan keupayaan secara dalaman dengan perkhidmatan awam.”

Seterusnya, dia memaklumkan Rang Undang-undang Omnibus yang dijadual dibentangkan di Dewan Rakyat Jun depan akan mengawal cara data itu digunakan, dilindungi dan dikongsi.

Ini adalah enam bulan selepas Padu, bahagian penting dalam usaha kerajaan untuk menggantikan subsidi meluas dengan skim bersasar, dijangka dilancarkan pada Januari 2024.

Dalam pada itu, Rafizi berkata, proses perkongsian data dilindungi melalui kira-kira 270 perjanjian yang ditandatangani antara pelbagai agensi dan badan berkanun, dengan kerajaan persekutuan.

Perjanjian ini merupakan penyelesaian yang membolehkan Kementerian Ekonomi, DOSM, dan Mampu mula bekerja dengan serta-merta untuk mengumpul data, katanya.

Pentadbiran sebelum ini tidak dapat mengatasinya kerana perkhidmatan awam tidak mempunyai garis panduan mengenai perkongsian data antara agensi, jelasnya.

Menteri itu berkata Padu akan merakamkan data 10 juta isi rumah berdasarkan pendapatan boleh guna isi rumah tetapi ia hanya boleh mendapatkan maklumat bagi mereka yang bekerja di sektor formal.

Sementara itu, kira-kira 40 peratus tenaga kerja yang berada di sektor tidak formal perlu memasukkan dan mengesahkan data mereka di Padu untuk mengakses bantuan dan perkhidmatan kerajaan.

“Kami akan menjalankan percubaan pada November sebelum Padu boleh diakses oleh orang ramai pada Januari 2024 untuk pengesahan maklumat peribadi.

“Dua perkara penting yang akan berlaku apabila beroperasi pada Januari depan ialah kita akan mempunyai satu kumpulan besar isi rumah yang kita mempunyai data pendapatan hampir lengkap daripada setiap ahli keluarga dan tempat mereka menginap, kereta apa yang mereka ada, dan sebagainya.

“Kita boleh menetapkan perbelanjaan nominal, jadi (data) mereka yang berada di sektor formal kemungkinan besar akan lengkap.

“Tetapi akan ada satu lagi kumpulan isi rumah (bekerja di sektor tidak formal) yang mana kita hanya mempunyai butiran, nama, tetapi ‘pendapatan sifar’.

"Jadi itulah sebabnya kita mungkin perlukan dua hingga tiga bulan untuk membuka sistem untuk pengesahan oleh individu ini."

Padu dijangka bekerjasama dengan agensi seperti majlis tempatan, pentadbir zakat, Jabatan Pengangkutan Jalan, dan Kementerian Pendidikan.

Pangkalan data ini bertujuan untuk menghitung pendapatan boleh guna isi rumah dengan membandingkan dengan komitmen kewangan.

Sebagai contoh, ini termasuk melihat kepada bilangan anak yang bersekolah dalam sesebuah keluarga, bilangan kenderaan yang dimiliki, dan jumlah zakat yang dibayar atau diterima.

Rafizi berkata data mengenai pemilikan rumah bukan menjadi sebahagian daripada pangkalan data itu kerana negara masih belum mempunyai pendaftaran perumahan, tetapi ia adalah sesuatu yang akan dimasukkan untuk memberi gambaran yang lebih jelas mengenai pendapatan boleh guna.

Sesetengah golongan berpendapatan tinggi dalam sektor tidak formal, yang telah mengelak cukai, mungkin memilih untuk tidak mendaftar, dan melepaskan akses kepada bantuan kerajaan, katanya.

Bagaimanapun, dia berkata, kebanyakan mereka dalam sektor tidak formal adalah peniaga kecil yang memerlukan bantuan kerajaan, dan oleh itu akan bersedia untuk mendaftar.

Keupayaan Padu untuk memusatkan data bermakna menjelang 2025, kerajaan akan dapat mengeluarkan penyata bulanan kepada isi rumah untuk menunjukkan bantuan dan perkhidmatan yang mereka terima.

“Jadi rakyat secara kasarnya tahu apa yang mereka berhak. Dan saya fikir setiap keluarga, setiap isi rumah, akan mempunyai hubungan yang lebih baik dengan kerajaan,” katanya.

“Dari segi itu, saya berharap ia juga mengubah cara orang ramai dan kerajaan berinteraksi antara satu sama lain dan begitu juga sebaliknya.

“Kerana ia bukan lagi tentang kerajaan mengawal atau memerintah kamu. Ia juga mengenai kerajaan menyediakan perkhidmatan kepada keluarga.”

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS