Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutan (Jawi) diarah untuk membuat pemantauan ke atas institusi masjid dan surau bagi memastikan tiada mana-mana pihak menyalahgunakannya untuk membuat himpunan politik.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) Mohd Na'im Mokhtar berkata kerajaan bimbang dengan kecenderungan pihak-pihak tertentu menjadikan masjid dan surau sebagai platform awal untuk berhimpun.
Langkah tersebut, tambahnya, boleh menggugat institusi masjid yang sepatutnya berfungsi untuk menyatukan umat Islam.
"Selain itu apabila masjid dan surau dilibatkan dengan kancah politik kepartian, ia akan menimbulkan ketegangan dalam masyarakat, selain mencemar institusi berkenaan sebagai zon bebas kepartian," katanya dalam kenyataan lewat petang ini.
Senator itu berkata demikian menjelang rancangan Pemuda PN menganjurkan himpunan Selamatkan Malaysia dengan menjadikan Masjid Kampung Baru sebagai permulaan bantahyan mereka.
Mereka berkumpul untuk membantah keputusan Jabatan Peguam Negara menghentikan prosiding kes Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi ketika kes prima facie telah pun berjaya diwujudkan di mahkamah.
Matlamat utamanya Pemuda PN ialah untuk mendesak supaya presiden Umno itu didakwa semula di mahkamah.
Sebelum ini, penganjur berkata perhimpunan itu akan diadakan di luar pusat beli-belah Sogo, kemudian dipindahkan ke Bukit Bintang sebelum akhirnya diputuskan di Masjid Kampung Baru.
Untuk rekod lokasi tersebut bukanlah terlalu asing untuk dijadikan tapak bagi protes antikerajaan.
Semasa zaman Reformasi kawasan berhampiran masjid terbabit juga pernah menjadi tempat penyokong Anwar Ibrahim - yang dipecat daripada kerajaan dan Umno ketika itu - berkumpul untuk mengadakan bantahan.
Mohd Na'im berkata JPM menyeru semua pihak agar bertanggungjawab serta tidak menjadikan institusi masjid atau surau sebagai gelanggang pertelagahan politik.
"Jawi diarahkan untuk membuat pemantauan ke atas masjid dan surau dalam Wilayah Persekutuan serta mengambil tindakan berpandukan lunas undang-undang jika ada mana-mana pihak melanggar undang-undang yang berkuat kuasa.
"Semua pihak diseru agar tidak terpengaruh dengan sebarang aktiviti dianjurkan pihak tertentu yang boleh mengundang perpecahan serta menimbulkan kegelisahan awam," katanya.
