Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Paparan skrin Whatsapp tular felo Perdana adalah rekaan'
Diterbitkan:  Sep 18, 2023 10:27 AM
Dikemaskini: 2:30 AM

Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (Miti) menafikan dakwaan bahawa seorang peserta felo Perdana -- yang mengemukakan sijil palsu untuk menyertai program itu -- masih bersama dengan kementerian itu.

Ia susulan paparan skrin kononnya mesej Whatsapp antara peserta itu dengan seorang pegawai khas kepada menteri Miti Tengku Zafrul Aziz menjadi tular di media sosial.

Imej yang dikongsi itu, yang juga disiarkan di Instagram Story, mendakwa bahawa peserta itu dimaklumkan supaya "meneruskan" tugasnya seperti biasa dan kenyataan akhbar yang dikeluarkan baru-baru ini mengenai kes sijil palsunya adalah "hanya untuk mendiamkan orang ramai".

"Kementerian Belia dan Sukan telah menggugurkan individu itu (daripada program felo Perdana) dan dia tidak lagi bersama dengan Miti," kata jurucakap kementerian itu sebagai menjawab pertanyaan Malaysiakini mengenai dakwaan tersebut.

Suria Zainal, pegawai yang dikaitkan dengan imej tular itu, berkata, paparan skrin itu sebagai rekaan dan dia akan membuat laporan polis.

"Hello, bolehkah kamu padamkan siaran ini kerana mesej tangkapan skrin itu adalah rekaan. Sila padamkan profil saya daripada siaran kamu SEGERA. Terima kasih," ciapnya di Twitter, sebagai jawapan kepada netizen yang menyiarkan paparan skrin yang dikatakan itu.

Suria juga memberitahu sebuah portal berita dalam talian bahawa dia akan membuat laporan polis mengenai perkara itu.

"Saya sedang memfailkan laporan polis mengenai perkara ini," katanya, seperti yang dipetik oleh Scoop.

Minggu lalu, dilaporkan seorang peserta felo Perdana yang ditempatkan di Miti telah diberhentikan daripada program itu kerana didakwa memalsukan maklumat tentang pencapaiannya.

Kementerian Belia dan Sukan dalam satu kenyataan mengumumkan individu itu telah menyampaikan sijil palsu bagi salah satu pencapaian yang disenaraikannya semasa permohonan menyertai program itu.

Difahamkan individu yang sama menjadi tular  di Twitter pada 2020, kini dinamakan semula sebagai X, selepas mengumumkan Pentadbiran Aeronautik dan Angkasa Lepas Kebangsaan (Nasa) menawarkan biasiswa kepadanya untuk belajar di Universiti Nasional di Singapura.

Pengumumannya malah menerima ucapan tahniah daripada perdana menteri ketika itu Muhyiddin Yassin, bekas menteri pengajian tinggi Noraini Ahmad dan bekas menteri sains, teknologi dan inovasi Khairy Jamaluddin.

Bagaimanapun, selepas menerima kritikan netizen atas percanggahan ceritanya, dia mendakwa dirinya telah ditipu.

[Baca berita penuh]


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS