Gaji minima: MTUC rancang mogok seluruh negara

G Vikneswary        

Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) merancang mengadakan mogok di seluruh negara jika gagal menerima respons positif berhubung tuntutan gaji minima bagi pekerja swasta.

Setiausaha Agung MTUC, G Rajasekaran, ketika dihubungi hari ini berkata, pihaknya akan menyerahkan memorandum kepada kerajaan pada 20 Jun ini berhubung perkara tersebut.

Katanya, dua minggu lalu, Majlis MTUC merancang untuk mengadakan mogok sehari sebagai langkah terakhir.

"Mogok akan diadakan di beberapa tempat seperti Petaling Jaya, Shah Alam dan Kuala Lumpur jika tiada tindakan daripada majikan swasta mengenai tuntutan itu dalam tempoh seminggu selepas memorandum diserahkan.

"Majlis MTUC tidak menolak kemungkinan melancarkan mogok jika tuntutan tidak dipenuhi," katanya.

Mogok besar pekerja pernah dilancarkan di Malaysia pada tahun 1999, apabila 70,000 pekerja ladang menuntut gaji harian ditukarkan kepada gaji bulanan.

Bayaran COLA

Baru-baru ini, kerajaan telah menaikkan gaji 1.2 juta kakitangan awam sehingga 35 peratus mulai Julai depan. Tuntutan mengenai kenaikan gaji itu telah dibuat sejak 1999.

"Kami hanya menuntut gaji minima sebanyak RM900 sebulan dan ini sudah adil untuk kakitangan swasta.

"Kerajaan juga sedar bahawa masyarakat perlukan (sekurang-kurangnya) sejumlah wang tersebut untuk meneruskan kehidupan," katanya.

Rajasekaran berkata, kerajaan juga sepatutnya mengarahkan sektor swasta menaikkan gaji serta elaun sarahidup (COLA) sebanyak RM300 sebulan dan bukan sekadar menyerahkan kepada majikan untuk membuat keputusan bagi pekerja mereka.

Katanya, kerajaan pernah mengarahkan sektor swasta memberi imbuhan gaji pekerja pada 1974 yang dikenali sebagai elaun bantuan khas berikutan kenaikan harga minyak ketika itu.

"Kami masih lagi tidak puas kerana kerajaan belum mengumumkan apa-apa mengenai tuntutan gaji pekerja swasta, di mana seramai lapan juta pekerja perlu dibayar COLA," tambahnya.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In