Ahli Parlimen Muar Syed Saddiq Syed Abdul Rahman melabelkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim sebagai "kerajaan nato" - no action, talk only - kerana menurutnya gagal melaksanakan reformasi yang dijanjikan sebelum ini.
"Reformasi asas yang dijanjikan sejak Januari lalu masih tidak dibuat.
"Realitinya ini kerajaan 'nato' - no action, talk only. Kata nak (anggota kabinet) isytihar harta, sudah lapan bulan tak isytihar lagi.
"Kata nak bagi peruntukan adil dan saksama, selepas beberapa bulan kosong. Kata nak lawan rasuah dan tak nak gugurkan kes (pendakwaan), ia berulang lagi.
"Kita dengar perkataan tata kelola pun orang dah tahu itu penipuan," kata Syed Saddiq pada sidang media di Parlimen, hari ini.
Syed Saddiq mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said behubung pembaharuan yang akan dilakukan kerajaan dalam sistem perundangan, termasuk pemisahan kuasa antara peguam negara dengan pendakwa raya.
Kerajaan pimpinan Anwar adalah kerajaan "walk the talk" (melaksanakan kata-kata) dalam melakukan agenda pembaharuan, kata Azalina ketika sesi penggulungan bagi sidang khas Kajian Separuh Penggal (KSP) Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat, hari ini.
Pada Julai lalu, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Antirasuah (JKKMAR) bersetuju untuk memperkenalkan semula pengisytiharan aset bagi anggota pentadbiran kerajaan.
Ia selepas format baru yang lebih komprehensif bagi pelaporan pengisytiharan harta ditambah baik, kata Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataan.
Mengulas lanjut Syed Saddiq berkata dia terbuka untuk memberi sokongan kepada kerajaan jika pembaharuan yang memberi manfaat kepada rakyat memerlukan sokongan dua pertiga di Dewan Rakyat.
Justeru, dia berkata kerajaan tidak perlu menggunakan alasan tiada sokongan dua pertiga untuk melaksanakan pembaharuan yang dijanjikan.
"Saya dah beri komitmen dari awal kalau pembaharuan perlu sokongan tambahan, saya akan beri komitmen untuk menyokong.
"Jangan berselindung di sebalik ketiadaan sokongan politik atau ketidakstabilan...Kalau diikutkan sokongan di Parlimen, ini kerajaan paling stabil sejak berdekad-dekad lamanya," dakwanya.