Sirul Azhar fail rayuan akses dokumen keterangan saksi

   

Anggota Unit Tindakan Khas (UTK) polis yang menghadapi tuduhan membunuh model Mongolia Altantuya Shaariibuu hari ini memfailkan rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk mengakses dokumen keterangan saksi pendakwaan sebelum perbicaraan kesnya bermula Isnin ini.

Notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, di Putrajaya semalam, melalui firma guaman yang mewakili Koperal Sirul Azhar Umar, The Chambers of Kamarul Hisham, Hasnal Rezua & Yusmadi.

Bersama-sama dengan notis rayuan itu juga turut disertakan perakuan segera yang diikrarkan oleh seorang daripada peguam bela Sirul Azhar, Hasnal Rezua Merican Habib Merican, demikian menurut laporan Bernama.

Perakuan itu difailkan bagi memohon supaya rayuan tertuduh didengar sebelum perbicaraan kes itu bermula pada 4 Jun ini supaya ia tidak menjejaskan prosiding perbicaraan berkenaan.

Ia juga menyatakan peguam perayu akan mencabar aspek dalam kes Husdi lawan Pendakwaraya (pada 1980) yang dirujuk Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Mohd Zaki Md Yasin ketika menolak permohonan itu.

Pihak pembelaan menyatakan adalah perlu rayuan itu didengar segera bagi menentukan sama ada aspek dalam kes Husdi adalah mengikat mahkamah yang lebih rendah atau hanya komen hakim yang tidak mengikat.

Surat peguambela

Semalam, Mohd Zaki menolak permohonan Sirul Azhar untuk mengakses dokumen keterangan saksi pendakwaan selepas mendapati tiada peruntukan undang-undang yang membenarkan keterangan saksi diakses oleh tertuduh mengikut Seksyen 112 Kanun Acara Jenayah (KAJ).

Permohonan Sirul Azhar disokong dua lagi tertuduh, iaitu Cif Inspektor Azilah Hadri (tertuduh pertama) yang turut didakwa membunuh Altantuya dan penganalisis politik, Abdul Razak Abdullah Baginda (tertuduh ketiga) yang didakwa bersubahat membunuh wanita itu. Bagaimanapun, mereka tidak memfailkan permohonan rasmi.

Pada 11 Mei lalu, Sirul Azhar (tertuduh kedua) melalui surat peguambelanya, memohon dibenarkan akses kepada beberapa dokumen termasuk semua kenyataan direkodkan oleh polis daripada saksi ketika siasatan kes bunuh itu.

Tertuduh juga memohon pendakwaan menyerahkan rekod panggilan telefon serta khidmat pesanan ringkas (SMS) yang dibuat atau diterima Sirul Azhar yang diperoleh pendakwaan ketika siasatan itu.

Azilah, 31 dan Sirul Azhar, 36, yang sebelum ini bertugas di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman didakwa membunuh Altantuya, 28, di lokasi antara lot 12843 dan lot 16735, Mukim Bukit Raja di sini, antara jam 10 malam 19 Oktober dan 1 pagi 20 Oktober tahun lalu.

Sementara Abdul Razak, 47, didakwa bersubahat membunuh Altantuya, bersama-sama Azilah dan Sirul Azhar di pejabatnya di Tingkat 10, Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang antara jam 9.54 pagi dan 10.05 pagi 18 Oktober 2006.

Ketiga-tiga tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In