30,000 pekerja ladang dapat pelarasan gaji
Kira-kira 30,000 pekerja ladang dalam tiga kategori penoreh getah, pekerja padang dan pekerja am memperolehi penyelarasan gaji sebanyak sembilan peratus mulai Jun ini berikutan termeterainya perjanjian bersama antara Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) hari ini.
Kira-kira 30,000 pekerja ladang dalam tiga kategori penoreh getah, pekerja padang dan pekerja am memperolehi penyelarasan gaji sebanyak sembilan peratus mulai Jun ini berikutan termeterainya perjanjian bersama antara Persatuan Pengeluar Pertanian Tanah Melayu (Mapa) dan Kesatuan Kebangsaan Pekerja Ladang (NUPW) hari ini.
Menurut Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Dr Fong Chan Onn, mereka juga akan diberi faedah lain seperti insentif kehadiran sebanyak RM95 sebulan dan elaun perumahan sebanyak RM95 sebulan.
Katanya, beliau juga dimaklumkan bahawa Mapa akan membayar gaji tertunggak untuk 17 bulan kepada setiap pekerja sebagai bayaran ex-gratia bagi tempoh 1 Januari 2006 hingga 31 Mei 2007 pada Jun ini.
Menurut laporan Bernama, Dr Fong berkata, perjanjian bersama bagi tempoh 1 Jun 2007 hingga 1 Jun 2010 itu akan memberi faedah kepada seramai 4,800 penoreh getah, 25,200 pekerja padang dan pekerja am yang bertugas di 384 buah ladang dan 115 kilang di Semenanjung.
Berikutan daripada perjanjian itu, Fong berkata pihak majikan akan mengalami pertambahan perbelanjaan sebanyak RM30 juta setahun.
"Dari sudut struktur upah yang telah dipersetujui, saya gembira mendapati bahawa pekerja akan menikmati penyelarasan gaji sembilan peratus," katanya kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian tersebut di Putrajaya.
"Saya amat berbangga kerana Mapa sebagai majikan yang prihatin tidak mengabaikan tanggungjawab mereka kepada para pekerjanya," kata Fong.
Elemen PLWS
Seperti Perjanjian Bersama terdahulu, tambah beliau, pihak majikan dan kesatuan pekerja masih mengekalkan kadar bayaran upah yang dikaitkan dengan produktiviti atau singkatannya PLWS (Productivity Link Wage System).
"Antara elemen PLWS yang terdapat dalam perjanjian ini adalah price bonus, task bonus dan out-turn incentive.
"Ini menunjukkan bahawa PLWS merupakan satu sistem upah yang sudah lama
diterima pakai dalam sektor ini," katanya.
Fong berharap PLWS di masa depan dapat diterapkan dan dikembangkan kepada sektor ekonomi yang lain bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing negara.
Beliau menasihati majikan dan kesatuan sekerja agar bekerjasama bagi memajukan ekonomi negara.
"Oleh itu apa jua perselisihan faham antara majikan dengan kesatuan sekerja hendaklah diselesaikan secara bijaksana di meja perundingan.
"Tindakan mogok atau piket bukanlah jalan terbaik bagi mendapatkan sesuatu tuntutan," tegas Fong.

