Pemimpin Umno Sabah Salleh Said Keruak menyorot kemungkinan Dr Mahathir Mohamad membuat kejutan dengan menjadi perdana menteri buat kali ketiga dengan gabungan politik ketiga.
"Dalam arena politik, cita-cita tiada had dan umur pula bukan menjadi penghalang. Oleh itu jangan memandang rendah kehendak orang tua,” katanya merujuk kepada ahli politik berusia 98 tahun itu.
Asas ramalan Salleh ialah langkah menjadikan Mahathir sebagai penasihat tidak rasmi bagi negeri yang dikuasai Perikatan Nasional (PN) yang digelar SG4.
Menurut Salleh, langkah itu menjadikan Mahathir ketua de facto pakatan pembangkang.
Dia percaya ini hanyalah "hanyalah langkah pertama daripada banyak lagi langkah besar yang akan datang."
"Walaupun langkah menjadikan Mahathir sebagai ketua de facto PN itu penting, namun langkah seumpama itu hanya bermakna sekiranya Mahathir boleh masuk ke Parlimen dan seterusnya menjadi ketua pembangkang.
"Beliau sepatutnya menggunakan pelantikan sebagai penasihat ekonomi kepada SG4 untuk meyakinkan semua ahli PAS tentang keikhlasannya," tambahnya dalam catatan Facebook.
Mengulas mengenai perkara itu, seorang lagi ahli politik Umno, yang enggan namanya didedahkan, berkata walaupun kenyataan Salleh itu kelihatan tidak masuk akal memandangkan usia Mahathir yang sudah lanjut dan dengan pilihan raya umum (PRU) akan datang dijangka pada 2027, dia berkata bekas perdana menteri itu boleh kembali melalui satu pilihan raya kecil (PRK).
Sementara itu, Salleh, yang menyifatkan Mahathir sebagai "ahli politik yang sangat bijak dan lebih bijak daripada kebanyakan kita", berkata Mahathir mahu mempunyai pengaruh yang lebih berkesan dalam domain politik untuk melemahkan pengaruh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
"Beliau merupakan pakar dalam percaturan seperti ini. Dalam hal ini, saya akan memberi tabik hormat kepadanya.
"Saya percaya inilah yang difikirkan oleh Mahathir dan tindakan seumpama itu akhirnya boleh membawa kepada krisis politik yang mungkin lebih besar daripada krisis politik 2015 yang menimpa Najib Razak.
"PAS tidak akan menyokongnya melainkan mereka benar-benar percaya dengan kebolehan Mahathir membuat percaturan politik. PAS pastinya percaya Mahathir boleh berjaya di mana (Pengerusi PN) Muhyiddin Yassin telah gagal iaitu kembali semula ke Putrajaya,” tambahnya.
Sambil memberi amaran kepada musuh Mahathir, Salleh berkata "tindakan dan niat" lawan perlu diperhatikan.
"Bukan sahaja tindakannya tetapi niatnya yang perlu diperhatikan, kerana jika seseorang tidak bertindak dahulu, dia akan menderita terlebih dahulu.
"Mahathir boleh menjadi perdana menteri sekali lagi jika semua musuhnya menganggap ini mustahil dan tidak berjaga-jaga," katanya.
Mahathir mula menjadi perdana menteri ketika menerajui Umno dan BN pada 1981. Dia berkhidmat selama 22 tahun sebelum bersara. Pada 2018, Mahathir kembali sebagai perdana menteri kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas menjatuhkan Umno dan BN.
Pada PRU lalu, bekas perdana menteri itu mengalami kekalahan teruk di kubu kuatnya di Langkawi di negeri kelahirannya Kedah. Mahathir malah kehilangan wang deposit.
Sejak itu, Mahathir menjadi antara yang lantang mengkritik Anwar, PH dan Umno, dengan menggunakan isu-isu kaum untuk menarik perhatian orang Melayu.
Mahathir, yang mempunyai rekod prestasi menamatkan karier politik penggantinya, kini telah berganding bahu dengan satu lagi kumpulan bekas seterunya, PAS dan Bersatu.