Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hakam ingatkan polis jangan guna PAA halang himpunan
Diterbitkan:  Sep 19, 2023 10:43 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Badan pemerhati hak asasi manusia (Hakam) tampil mengkritik siasatan polis terhadap penganjur dan peserta perhimpunan anti-Zahid Hamidi, pada Sabtu lalu.

Dalam satu kenyataan, presidennya M Ramachelvam, berkata tindakan sedemikian adalah satu gangguan terhadap penunjuk perasaan secara aman melalui proses sistemik dan prosedur dan ia melanggar hak mereka berhimpun dengan aman seperti dijamin di bawah Perlembagaan Persekutuan. 

M Ramachelvam

“Terdapat corak tertentu oleh kerajaan susulan yang turut menggunakan Akta Perhimpunan Aman 2012 (PAA) sebagai senjata untuk menyekat suara orang ramai, terutamanya yang bertentangan dengan parti pemerintah hari ini dan pemimpin utamanya. 

"PAA membebankan penganjur dan individu berhubung perhimpunan awam.

“Hakam sependapat dan bersetuju dengan pelbagai masyarakat sivil dan Majlis Peguam mengenai kesan berbahaya dan memudaratkan PAA dalam menghalang penglibatan awam dan menyekat hak rakyat,” katanya. 

Tambah Ramachelvam tindakan pihak berkuasa untuk menindas hak kebebasan berhimpun akan menghalang penyertaan awam dan penglibatan demokrasi, yang menyekat wacana awam dan akan melemahkan negara. 

“Hakam menggesa kerajaan menghormati Perlembagaan Persekutuan dan memastikan penyertaan orang ramai yang selamat dan sihat dalam masyarakat demokratik,” katanya.

Perhimpunan anjuran PN itu merupakan protes terhadap kerajaan berhubung keputusan pendakwa raya untuk menarik balik tuduhan rasuah terhadap Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi. 

Ia selepas mahkamah melepas dan tanpa membebaskan (DNAA) Zahid, apabila pihak pendakwaan menarik balik 47 pertuduhan berkaitan penyelewengan jutaan ringgit daripada Yayasan Akalbudi.

Salah satu sebab yang disebut ialah timbalan perdana menteri boleh menjadi mangsa pendakwaan terpilih.

Dinamakan himpunan 'Selamatkan Malaysia', peserta berkumpul di Masjid Jamek Kampung Baru di tengah-tengah Kuala Lumpur untuk solat hajat sebelum aktivis PN Badrul Hisham Shaharin, lebih dikenali sebagai Chegubard, dan Tun Faisal Ismail Aziz mengetuai mereka berarak ke Kompleks Membeli-belah Sogo dan menyampaikan ucapan secara terbuka.

Susulan itu, Timbalan Ketua Polis Negara Ayob Khan Mydin Pitchay kemudiannya mengumumkan bahawa polis sedang menyiasat 25 individu berhubung perhimpunan tersebut.

Menurutnya, ini kerana ia tidak mematuhi PAA kerana ketiadaan notis, dan juga diadakan di masjid - merupakan lokasi larangan untuk perhimpunan di bawah undang-undang.

Lihat Komen
ADS