Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Rafidah kecam 'Napoleon kecil' paksa peraturan pada orang muda
Diterbitkan:  Sep 21, 2023 10:45 AM
Dikemaskini: 2:45 AM

Bekas menteri Rafidah Aziz telah menyelar "Napoleon kecil" yang memaksa kehendak dan peraturan mereka ke atas golongan muda, memberi kesan kepada kepelbagaian kaum.

Bekas pemimpin Umno itu seterusnya menggesa "rombakan" sistem pendidikan negara, bagi membolehkan golongan muda bersaing dengan yang terbaik, di peringkat global.

"Nampaknya beberapa Napoleon kecil di mana-mana terus memaksa kehendak mereka apabila membuat peraturan di kawasan di bawah bidang kuasa mereka.

"Mereka mengeluarkan peraturan yang tidak masuk akal, seperti mengenai pakaian kanak-kanak, yang memberi kesan kepada kepelbagaian kaum, dan peraturan mengenai pengasingan lelaki dan perempuan di acara," kata Rafidah kepada Malaysiakini dalam satu kenyataan.

Dia menjawab laporan mengenai sebuah sekolah menengah di Kajang, Selangor, yang didakwa menghalang pelajar daripada memakai pakaian tradisi budaya lain semasa sambutan Merdeka di sekolah.

Menurut FMT, pihak sekolah juga tidak membenarkan pelajar India memakai saree ke acara itu dan memberitahu mereka yang memakai "tali suci" di pergelangan tangan mereka untuk menanggalkannya.

Seorang pegawai dari pejabat timbalan menteri pendidikan memberitahu Malaysiakini semalam bahawa Jabatan Pendidikan Selangor sedang menjalankan siasatan dan tindakan sewajarnya akan didedahkan sebaik siasatan selesai.

Mengulas lanjut, Rafidah berkata sistem pendidikan negara perlu dirombak dalam banyak aspek termasuk kandungan, penyampaian dan kurikulum bagi mempersiapkan golongan muda untuk bersaing di arena global.

“Guru sendiri mesti dilengkapi dengan pengetahuan dan kemahiran yang sesuai untuk mengajar golongan muda, yang akan menjadi pentadbir dan birokrat masa depan.

"Semakin lama rombakan seperti itu ditangguhkan, semakin teruk ia akan dialami oleh golongan muda," kata Rafidah, sambil menambah bahawa ibu bapa juga mesti memastikan anak-anak mereka diajar "perkara yang betul dengan cara yang betul."

Sementara itu, Ahli Parlimen Bangi Syahredzan Johan turut melahirkan kebimbangan mengenai perkara itu, kerana sekolah tersebut terletak di bawah bidang kuasanya.

"Sebagai ahli parlimen, saya mengalu-alukan siasatan berhubung insiden yang dilaporkan itu. Jika didapati benar, kita tidak boleh membenarkan kejadian seperti itu berlaku pada masa hadapan.

"Kajang sentiasa menjadi tempat di mana budaya dan masyarakat yang berbeza bersatu secara harmoni. Kepelbagaian ini menjadikan Kajang lebih kuat. Kita mesti berusaha untuk mengekalkannya," tulis pemimpin DAP itu di Facebook sambil berkongsi tangkap layar laporan Malaysiakini mengenai isu.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS