PAS boleh terima Nasha atau Harun, kata Mahfuz

Muda Mohd Noor        

PAS mengamalkan dasar terbuka dan boleh menerima sesiapa sahaja dalam pucuk pimpinan yang dipilih oleh ahli, sama ada dari golongan ulama atau profesional, kata calon Naib Presiden, Mahfuz Omar.

Malah, kata bekas Ketua Pemuda PAS itu, pucuk pimpinan sekarang, termasuk presiden, Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Timbalannya, Nasharuddin Mat Isa telah menjalankan tugas dengan baik sejak dipilih dalam muktamar lalu.

Sehubungan itu, katanya, PAS tidak mempunyai sebarang masalah sama ada Nasharuddin atau pencabarnya Datuk Harun Taib yang menjadi timbalan presiden parti selepas pemilihan ini.

"Pucuk pimpinan sedia ada sudah menjalankan tugas-tugas parti dengan baik tetapi terpulang kepada perwakilan untuk menentukan pimpinan baru.

"Para perwakilan PAS bijak dan sudah matang untuk memilih pemimpin mereka kerana sejak sekian lama mereka tidak menjadikan 'label' sebagai keutamaan sebaliknya kebolehan mereka," katanya ketika diminta mengulas pertandingan jawatan timbalan presiden antara Nasharuddin dan Harun, esok.

Nasharuddin merupakan penyandang jawatan tersebut yang dimenanginya dalam pemilihan lalu, manakala Harun adalah bekas Ketua Dewan Ulama dan juga timbalan pesuruhjaya PAS Terengganu.

Sikap konservatif

Abdul Hadi tidak dicabar kali ini dan menjadi presiden untuk penggal ketiga sejak mengambilalih jawatan itu dari Datuk Fadzil Noor pada 2003.

Mahfuz berkata, pemimpin PAS sangat konservatif dengan prinsip masing-masing dan semua ahli parti tahu mengenai perkara tersebut.

Sementara itu, pensyarah Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Mohamad Agus Yusoff berkata, Nasharuddin boleh membawa pembangkang ke depan dengan pendekatan dan strategi untuk menjadi parti politik utama negara.

Katanya, jika Harun menang, ia tidak baik kepada PAS kerana pandangan orang ramai bahawa parti itu sangat konservatif, iaitu dikuasai aliran yang sama dengan presiden, Abdul Hadi.

"Ini yang perlu diberi perhatian oleh ahli PAS sama ada mereka mahu menjadi parti besar yang boleh memerintah atau sekadar menjadi pembangkang selama-lamanya," katanya.

Mengulas lanjut, Dr Mohamad Agus berkata, melihatkan pucuk pimpinan PAS yang sedia ada, parti itu tidak akan ke mana-mana walaupun golongan ulama atau profesional yang menang dalam pemilihan parti kali ini.

Bergantung pada isu

"Abdul Hadi tidak mempunyai hala tuju yang jelas. Mampukah beliau membawa PAS ke depan?" tambahnya.

Menurutnya lagi, apa yang menjadi masalah kepada PAS ialah sokongan rakyat kepadanya bergantung kepada isu yang berlaku dalam masyarakat dan bukannya kerana kekuatan sendiri.

"PAS menang di Kelantan pada 1990 kerana isu perpecahan Umno manakala parti itu menang di Terengganu kerana pemecatan bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim pada 1999," katanya.

Dr Mohamad Agus berkata, masyarakat tidak yakin kepada PAS kerana parti itu tidak mempunyai tarikan besar seperti yang dimiliki oleh penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu.

Anwar, katanya, walaupun dipenjarakan dan menghadapi pelbagai tohmahan, tetapi masih diterima masyarakat dan ini yang tidak ada pada PAS.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In