Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Fadhlina tinjau sekolah terbakar
Diterbitkan:  Sep 23, 2023 8:30 AM
Dikemaskini: 12:30 AM

Tiga daripada lima bilik darjah di satu bangunan empat tingkat di Sekolah Kebangsaan (SK) Permatang To’ Kandu di Bukit Mertajam, musnah dalam kebakaran semalam.

Namun, tiada kemalangan jiwa membabitkan guru, murid atau petugas di sekolah itu kerana kejadian berlaku selepas waktu persekolahan sesi petang.

Pengawai Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pulau Pinang Azhar Ahmad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 6.06 petang semalam dan sepasukan bomba bersama jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Perai tiba di lokasi kira-kira 10 minit kemudian.

Beliau berkata kebakaran itu melibatkan bangunan sekolah empat tingkat dan sebanyak lima kelas yang berada di tingkat atas terlibat dalam kejadian itu.



"Sebaik pihak bomba tiba, api sedang marak dan sebahagian daripada lima buah kelas di tingkat empat telah musnah terbakar, pihak bomba menjalankan kerja-kerja pemadaman api sebelum berjaya mengawalnya daripada merebak 10 minit kemudian.

"Tiga buah kelas termasuk sebuah makmal komputer musnah sepenuhnya manakala dua lagi kelas iaitu bilik darjah dan gimnasium dilaporkan terbakar lebih 40 peratus," katanya dan menambah punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan.

Sementara itu, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek yang meninjau keadaan di sekolah itu berkata kementerian akan berbincang dengan pihak sekolah terutama berkaitan bantuan dan sesi persekolahan murid yang bilik darjah mereka terjejas dalam kebakaran itu.

"KPM akan bincang dengan pihak sekolah iaitu yang pertama, berhubung penilaian keseluruhan kerosakan akibat kebakaran itu yang mungkin mengambil sedikit masa iaitu kira-kira 14 hari sebelum kita boleh sampaikan bantuan yang diperlukan sebagai bantuan bencana.

Bomba pantas

"Kedua pula berkaitan pengurusan pendidikan murid terlibat di sekolah ini dan kita beri jaminan kepada ibu bapa yang anak-anak mereka akan terus belajar, kita akan cari mekanisme yang sesuai antaranya gunakan pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR), kelas ganti atau apa sahaja yang sesuai, pihak sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri akan berbincang," katanya kepada pemberita malam tadi.

Fadhlina berkata bangunan yang terbakar dalam kejadian itu akan ditutup sepenuhnya bagi pemeriksaan lanjut termasuk daripada pihak bomba dan Tenaga Nasional Berhad bagi memastikan keselamatannya.

"Semasa kebakaran itu, tiada murid-murid kerana mereka telah pulang manakala terdapat guru di bilik guru dan ada dalam kalangan mereka (guru) cuba membantu memadamkan kebakaran, saya juga ingin ucapkan terima kasih kepada pasukan penyelamat kerana tindakan pantas mereka berjaya mengawal kebakaran daripada merebak," katanya.

- Bernama


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS