Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Jangan sampai berjuta-juta rakyat berkumpul di KL, kata Sanusi

PRK PELANGAI | Menganggap Howard Lee melakukan kesalahan yang "begitu besar" serta "sangat sensitif" buat masa depan negara, Menteri Besar Kedah Muhammas Sanusi Md Nor menggesa polis menyiasat ahli parlimen Ipoh Timor terbabit.

Kata Sanusi, Lee membuat tafsirannya sendiri mengenai ayat al-Quran dan ia tidak wajar dibuat oleh seseorang yang tidak memiliki ilmu berkaitan Islam.

Dakwa Sanusi, jika tindakan tidak diambil ke atas Lee, kemarahan akan meningkat dan mungkin mendorong orang ramai turun ke jalan raya.

"Jangan sampai rakyat marah dan berhimpun di Kuala Lumpur berjuta-juta (orang). Pada masa tu kami pulak jadi salah.

"Kalau tak ambil tindakan pada masa ini, pada masa depan orang lain yang ada pemikiran semasa (Lee) akan buat lagi - mentafsir tanpa disiplin, tanpa ilmu, tanpa latihan, tanpa kemahiran, tafsir ikut dan (sempat)," katanya.

Sanusi yang juga pengarah pilihan raya PN ketika itu berucap di depan kira-kira 1,000 orang yang hadir di ceramah Simpang Pelangai malam tadi.

Ia merupakan hari kedua kempen rasmi sempena PRK Pelangai berlangsung. Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 7 Okt ini sebagai hari pengundian mengisi kekosongan berikutan kematian Allahyarham Johari Harun pada 17 Ogos lalu.

Sanusi turut mengaitkan tindakan Lee dengan bekas Gabenor Indonesia, Basuki Tjahaja Purnama, yang dihukum kerana didapati "menghina Islam" semasa berkempen.

Elak masalah berulang

Dia yang lebih dikenali dengan panggilan Ahok merupakan ahli politik berketurunan Cina dan beragama Kristian. Mahkamah mendapati dia bersalah kerana mengkritik lawannya mengenai penggunaan al-Quran dalam kempen dan sempat mencetuskan ketegangan membabitkan beberapa kumpulan Islam di Indonesia.

Kata Sanusi di negara jiran itu Ahok dipenjara selama dua tahun.

"Kedua-dua ni (Lee dan Ahok) tak ada kelayakan (mentafsir al-Quran)... satu kat sana (Indonesia) kena dua tahun, sorang lagi di sini polis baru nak siasat.

"Terima kasih pada polis, siasat betul-betul!" katanya.

Sanusi juga mengecam kerajaan kerana bertindak tegas ke atas pemimpin pembangkang atas dakwaan menyentuh isu 3R (kaum, agama dan raja-raja Melayu) namun bersikap sebaliknya ke atas Lee.

Ahli politik yang kini berdepan dengan pertuduhan di mahkamah itu memberitahu orang ramai, polis menahannya pada jam 3 pagi atas dakwaan isu 3R.

Namun katanya Lee boleh meninggalkan Malaysia kerana menyertai delegasi negara - diketuai Perdana Menteri Anwar Ibrahim - ke New York, AS.

Kata Sanusi polis wajar menjalankan siasatan ke atas Lee pada kadar segera bagi mengelak masalah sama berulang.

Dakwa Sanusi jika tindakan tidak diambil, dibimbangi selepas ini orang boleh memanggil mana-mana "apek" mengajar di masjid di Pelangai kononnya kerana memiliki kefahaman mengenai Islam.

"Rosak generasi akan datang kalau (keadaan ini) dibiarkan berterusan.

"Pasai (sebab) tu kita kata kesalahan dibuat ahli parlimen Ipoh Timor ni begitu besar dan sangat sensitif untuk masa depan negara kita," katanya.

Minggu lalu, Lee yang merupakan ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat DAP didakwa membuat tafsiran sendiri terhadap ayat al-Quran di TikTok. Polis kemudian memulakan siasatan ke atas ahli parlimen DAP itu selepas aduan dibuat kepada pihak berkuasa.

Lihat Komen
ADS