Yang Dipertua PAS Langkawi Zubir Ahmad hari ini dipilih menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah yang ke-15 dalam sidang yang berlangsung di Wisma Darul Aman, Alor Setar.

Menteri Besar Kedah yang juga Adun Jeneri, Muhammad Sanusi Md Nor, mencadangkan nama Zubir, 60, yang kemudian disokong Adun Merbau Pulas merangkap Exco Luar Bandar, Kemiskinan dan Pembangunan Insan Siti Ashah Ghazali.

Setiausaha Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah Mohamad Azlee Ahmad memaklumkan, disebabkan hanya seorang calon dikemukakan dan bagi mematuhi Peraturan 4 (5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat DUN Kedah, maka Zubir diisytiharkan menjadi Speaker DUN Kedah Ke-15.

“...oleh kerana seorang calon saja dikemukakan dan bagi mematuhi Peraturan 4 (5) Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan Undangan Negeri Kedah, maka saya dengan ini mengisytiharkan YB Encik Zubir Ahmad dipilih menjadi Speaker DUN Kedah yang ke-15 ini,” katanya.

- Bernama