Kerajaan negeri Selangor yang diterajui oleh Pakatan Harapan (PH) harus menasihatkan Sultan Selangor supaya mengampunkan pendakwah bebas Wan Ji Wan Hussin yang sedang menjalani hukuman penjara sembilan bulan kerana kesalahan hasutan.
Pengarah Lawyers for Liberty (LFL), Zaid Malek dalam satu kenyataan berkata, ini selaras dengan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Di bawah Perkara 42(4)(b), Sultan memberi pengampunan atas nasihat Lembaga Pengampunan Selangor. Dan menurut Perkara 42(5), Menteri Besar Selangor adalah ahli Lembaga Pengampunan,” katanya.
Selain PH dan Menteri Besar, Amirudin Shari yang mewakili PKR, Zaid berkata Perdana Menteri, Anwar Ibrahim juga tidak boleh berdiam diri.
“Ketika menjadi pembangkang, Anwar telah bercakap secara khusus dalam kes Wan Ji. Pada 2019, Anwar telah mengeluarkan kenyataan membantah pensabitan Wan Ji atas dakwaan menghasut oleh Mahkamah Tinggi.
Menurutnya hukuman itu "keras" dan "tidak konsisten dengan peralihan demokrasi.
“Kini Anwar sebagai perdana Menteri berada dalam kedudukan untuk membetulkan ketidakadilan yang dilakukan terhadap Wan Ji,” kata Zaid.
LFL katanya, menganggap Wan Ji yang menjadi mangsa Akta Hasutan 1948 yang menindas itu sebagai sesuatu yang “sungguh mengerikan dan tidak boleh diterima” serta pelanggaran kebebasan bersuara.
“Menambahkan garam kepada luka adalah bahawa pemenjaraannya adalah di bawah kerajaan pimpinan PH, yang sebelum ini memperjuangkan pemansuhan Akta Hasutan,” kata Zaid.
Sehubungan itu, menurutnya, Peguam Negara dalam kapasitinya sebagai kerajaan persekutuan dan ketua penasihat undang-undang perdana menteri juga duduk sebagai ahli Lembaga Pengampunan Selangor di bawah Perkara 42(5) mesti menasihatkan Wan Ji diberikan pengampunan.
Mahkamah Rayuan semalam memerintahkan Wan Ji, 41, menjalani hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan menerbitkan perkataan menghasut dan menghina Sultan Selangor, hampir 11 tahun lalu.
Dakwaan itu termasuk membabitkan isu agama dalam Facebook dengan nama wanji.attaaduddi.
Panel tiga hakim sebulat suara menolak rayuan akhir Wan Ji terhadap sabitan. Bagaimanapun, mahkamah membenarkan rayuannya terhadap hukuman dan mengetepikan penjara setahun yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi pada 9 Julai 2019. Keputusan Mahkamah Sesyen Shah Alam pada 9 April 2018, dikembalikan.
Mengulas lanjut, Zaid berkata Akta Hasutan era kolonial mempunyai kesan mengerikan terhadap kebebasan bersuara dan menentang ketidakadilan.
“Adalah satu kewajipan moral kepada PH, yang menjanjikan pemansuhan, sekali gus memastikan Wan Ji tidak terus menjalani hukuman penjara di bawah undang-undang zalim ini,” katanya.
Tambah Zaid, dengan membiarkan Wan Ji meringkuk di penjara akan menjadi titik hitam kepada negara dan badan kehakimannya.