PAS masih buka pintu kerjasama dengan DAP
PAS masih membuka pintu kerjasama dengan DAP dalam pilihanraya umum akan datang dengan syarat parti itu menerima prinsip negara Islam PAS, kata Mursyidul Am PAS, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan itu berkata, PAS sama sekali tidak akan menggadai prinsip Islam semata-mata untuk bekerjasama dengan DAP.
"Kalau dia (DAP) terima syarat PAS, kita akan kerjasama dengan DAP. Kita telah kerjasama dengan DAP dalam pilihanraya 1999, jadi kerjasama ini bukan perkara baru.
"Mengapa DAP perlu takut dengan negara Islam PAS. Kita tidak bunuh orang Cina, kita tidak aniaya peniaga orang Cina," katanya dalam majlis meraikan wartawan di Hotel Perdana di Kota Baru malam tadi.
Nik Aziz berkata, PAS boleh berbincang dengan pembangkang lain untuk memastikan hanya satu calon pembangkang menentang Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum akan datang.
Bagaimanapun, katanya, pembincangan dengan pembangkang mengenai perkara tersebut dan pembahagian kerusi belum dibuat.
Menteri Besar Kelantan itu berkata, beliau akan bertanding dalam pilihanraya umum akan datang walaupun mengakui kesihatannya agak kurang memuaskan sejak kebelakangan ini.
"Nak bangun, nak naik tangga susah sedikit tetapi menandatangani kertas tidak ada masalah. (Tetapi) percakapan saya didengar oleh semua orang," katanya.
Pengganti MB K'tan
Nik Aziz berkata, beliau sudah nampak pengganti yang akan menjadi Menteri Besar Kelantan tetapi tidak mahu memberitahu namanya kerana tidak mahu mengecewakan orang yang tidak dipilih.
Ketika ditanya mengenai pemilihan barisan kepimpinan PAS, Nik Aziz berkata, beliau mahu golongan ulama dan profesional berganding bahu dalam PAS.
"Satu hari nanti saya mahu ketua polis, guru dan sebagainya adalah berkelulusan gabungan antara ulama dan profesional. Guru-guru agama pun boleh ajar subjek sains," katanya.
Nik Aziz juga berkata, Umno pernah mempelawanya masuk parti itu tetapi beliau menolak kerana parti itu menolak Islam.
Katanya, beliau akan masuk Umno jika parti itu mengubah dasar kepada Islam dan menegaskan PAS tidak perlu wujud jika Umno menerima Islam sebagai perjuangan mereka.
Nik Aziz juga mengulas kemenangan anaknya Nik Abduh dengan mendapat undi tertinggi untuk menduduk jawatankuasa DewanPemuda PAS.
Katanya, beliau tidak pernah menentukan masa depan anaknya sendiri dan penyertaaannya dalam politik adalah kehendaknya sendiri.
"Harapan saya ialah mereka boleh mencapai kejayaan setinggi yang boleh dalam politik PAS," katanya.