Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Muhyiddin, Dr M perlu jadi saksi PSSC pengasingan kuasa AG, pendakwa raya'
Diterbitkan:  Sep 28, 2023 7:45 PM
Dikemaskini: 2:53 PM

Bekas perdana menteri Muhyiddin Yassin dan Dr Mahathir Mohamad perlu dipanggil sebagai saksi utama dalam prosiding Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSSC) mengenai pengasingan kuasa peguam negara (AG) dan pendakwa raya, kata pemimpin DAP Johor Dr Boo Cheng Hau.

“Mereka telah mendakwa keadilan telah gagal.

“Muhyiddin sebagai perdana menteri sebelum ini yang melantik bekas peguam negara dan ketua pesuruhjaya SPRM perlu dipanggil sebagai saksi utama mengapa dakwaan campur tangan eksekutif ke atas kes rasuah berprofil tinggi boleh dibuktikan dan cadangan beliau untuk mewujudkan sistem keadilan bebas.

“Mahathir akan menjadi salah seorang saksi paling utama yang dipanggil ke PSSC untuk memberikan pandangan yang berharga dan berkongsi pengalamannya mengapa reformasi keadilan tidak pernah berjaya dilaksanakan.

"Kehadirannya di pendengaran PSSC penting bagi PSSC untuk mengesyorkan cadangan kepada kerajaan tentang jenis pembaharuan sistem keadilan yang perlu dilaksanakan," kata Boo dalam satu kenyataan hari ini.

Bekas ahli parlimen itu berkata sekian lama terlalu banyak kuasa telah diberikan kepada eksekutif dalam melantik jawatan awam utama.

Katanya, situasi itu mengundang tuduhan pembangkang yang mendakwa eksekutif telah campur tangan dalam proses perundangan membabitkan beberapa kes berprofil tinggi.

Dr Boo Cheng Hau

Oleh itu, katanya, PSSC adalah platform paling sesuai untuk mengumpulkan maklumat bagi melaksanakan reformasi yang meyakinkan untuk sistem keadilan dan reformasi institusi lain.

PSSC mengenai Hak Asasi Manusia, Pilihan Raya dan Pembaharuan Institusi baru-baru ini berkata mereka akan memulakan prosiding mengenai pengasingan kuasa peguam negara dan pendakwa raya.

Antara kes yang akan dibincangkan dalam siasatan ini termasuk penolakan rayuan terhadap bekas perdana menteri Najib Abdul Razak dan bekas ketua pegawai eksekutif 1MDB Arul Kanda Kandasamy berhubung dakwaan mengubah laporan audit 1MDB, pembebasan Muhyiddin atas empat pertuduhan salah guna kuasa yang dikaitkan dengan Program Jana Wibawa dan pelepasan tanpa pembebasan diberikan kepada Timbalan Perdana Menteri Ahmad Zahid Hamidi dalam kes rasuah Yayasan Akalbudi.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS