PAS diminta atasi masalah penjenamaan kepimpinan

Muda Mohd Noor        

Seorang perwakilan meminta PAS mengatasi masalah penjenamaan dan pakej semula pucuk pimpinan yang dibuat dalam Muktamar PAS 2005, yang menurutnya, menjadi punca ahli hilang keyakinan untuk berjuang dengan parti itu.

PaKhrulrazi Nawawi dari Kedah berkata, dalam pemilihan tersebut perwakilan telah membuat keputusan untuk menjenamakan semula pemimpin ulama dengan alasan supaya ulamak diterima masyarakat.

"Kalau ulamak perlu buang serban, kena buang serban, kalau ulamak kena pakai topi, perlu pakai topi, semuanya kerana untuk melihat PAS telah berubah, sesuai dengan kehendak masyarakat. Malah pada masa sama, pelbagai nama lain diberikan kepada ulamak.

"Tetapi penjenamaan dan pakej semula itu tidak sesuai dengan PAS menyebabkan ahli parti hilang keyakinan terhadap parti," katanya ketika membahaskan ucapan dasar presiden di muktamar PAS di Kota Baru hari ini.

Pakhrulrazi berkata, PAS tidak boleh meniru parti-parti lain, seprti parti Islam di Turki dan Indonesia, kerana ia tidak sesuai dengan sejarah perjuangan PAS yang sudah berpuluh tahun diwujudkan.

"Penjenamaan semula hanya sesuai untuk parti politik yang baru ditubuhkan, tetapi untuk PAS, ia tidak memberi kebaikan kepada parti ini," katanya.

Halatuju kepimpinan

Berikutan itu, katanya, presiden parti, Datuk Seri Abdul Hadi Awang perlu mencari jalan untuk menyelesaikan isu berkenaan dengan segera bagi kejayaan parti dalam pilihanraya umum akan datang.

Dalam ucapannya, Fakrulrazi juga bercakap mengenai golongan profesional dan ulamak dalam kepimpinan PAS yang menjadi perbualan hangat sekarang.

Beliau berkata, PAS perlu berwaspada dengan pihak tertentu yang cuba melaga-lagakan antara golongan profesional dan ulamak untuk kepentingan musuh.

"PAS menghargai ulamak tetapi presiden perlu membuat keputusan mengenai perbezaan pendapat dengan memberi hujah-hujah yang yang boleh menyakinkan semua pihak," katanya lagi.

Manakala perwakilan Dewan Pemuda, Nasharuddin Hassan pula berkata, pemimpin PAS perlukan pendidikan politik supaya membawa halatuju kepimpinan yang baik.

Katanya, PAS mempunyai kemudahan kelas pertama tetapi mental pekerjanya kelas tiga dan ini sama sekali tidak akan membawa kejayaan kepada parti.

Persiapan pilihanraya

"Adakah kita sekadar berpuashati dengan kejayaan yang dicapai oleh PAS setakat ini?

"Adakah kita sanggup membuat pelaburan besar dalam menggerakkan persediaan parti dalam menghadapi pilihanraya umum akan datang?

"Kita memerlukan pembangunan intelektual dan pembangunan roh supaya ahli berjiwa besar," kata Nasharuddin yang juga timbalan ketua Dewan Pemuda PAS pusat yang baru.

Wakil Perak, Hisbah Munir Masduki pula mahu semua pihak menghentikan amalan melabelkan 'profesional dan ulamak' di kalangan pemimpin PAS, sambil menegaskan bahawa parti memerlukan golongan profesional.

Katanya, kejayaan Menteri Besar Datuk Nik Aziz Nik Mat memerintah Kelantan kerana beliau dikelilingi oleh golongan profesional.

Beliau berkata, tidak perlu lagi dibangkitkan isu ulama dan profesional dalam kepimpinan PAS, tetapi sebaliknya, mereka mesti saling menerima antara satu sama lain.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In