Kualiti udara ‘tidak sihat’ yang direkodkan di bahagian Semenanjung Malaysia hari ini adalah disebabkan oleh jerebu rentas sempadan dari Indonesia.
Menurut Jabatan Alam Sekitar (JAS) hari ini, setakat jam 8 malam, 12 stesen pemantauan kualiti udara telah merekodkan indeks pencemar udara (IPU) dianggap tidak sihat iaitu bacaan antara 101 dan 200.
“Kebakaran hutan di selatan Sumatera, dan Kalimantan tengah dan selatan, Indonesia, telah menyebabkan jerebu merentas sempadan dan menjejaskan bacaan IPU di sebahagian besar Semenanjung Malaysia Barat dan sebahagian Sarawak Barat,” kata ketua pengarah JAS Wan Abdul Latiff Wan Jaffar.
12 stesen yang telah merekodkan bacaan IPU tidak sihat setakat 8 malam hari ini ialah:
· Seberang Jaya, Pulau Pinang (API 110)
· Taiping, Perak (API 118)
· Tasek, Perak (API 106)
· Tanjung Malim, Perak (API 106)
· Batu Muda, Kuala Lumpur (API 151)
· Cheras, Kuala Lumpur (API 155)
· Putrajaya (API 115)
· Kuala Selangor, Selangor (API 153)
· Petaling Jaya, Selangor (API 153)
· Shah Alam, Selangor (API 142)
· Nilai, Negeri Sembilan (API 126)
· Johan Setia, Selangor (API 139)
Perlu diingatkan bahawa bacaan ini adalah berdasarkan purata ukuran yang dibuat dalam 24 jam sebelumnya.
Latiff berkata, berdasarkan pemantauan satelit NOAA-20 kendalian AS, sebanyak 52 titik panas telah dikesan di Sumatera dan 264 di Kalimantan hari ini. Tiada satu pun yang dikesan di Malaysia.
Memetik Pusat Meteorologi Khusus Asean, dia berkata wilayah tengah dan selatan Sumatera dan Kalimantan Selatan masih mengalami cuaca kering yang berterusan.
“Kluster titik panas yang berterusan di Sumatera Selatan dan Jambi mengeluarkan asap jerebu sederhana hingga tebal yang dibawa angin ke barat laut.
“Di Kalimantan, kumpulan titik panas yang berterusan di Kalimantan tengah dan selatan mengeluarkan asap jerebu yang boleh menyebabkan jerebu di Sarawak Barat.
“Terdapat hujan di beberapa bahagian di Kalimantan Barat, dan ini boleh mengurangkan titik panas dan jerebu di sana,” katanya.
Dia juga mengulangi bahawa JAS telah meningkatkan aktiviti penguatkuasaannya. Pelan Tindakan Pembakaran Terbuka Kebangsaan dan Pelan Tindakan Jerebu Kebangsaan telah diaktifkan untuk menyelaraskan agensi kerajaan.