Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail hari ini berkata kerajaan masih belum memutuskan sama ada dua warganegara Malaysia yang ditahan atas tuduhan berkaitan keganasan di Teluk Guantanamo, Cuba, akan kekal di bawah tahanan selepas mereka dihantar pulang.
Saifuddin, yang dilaporkan bertemu dengan wakil khas AS untuk hal ehwal Guantanamo, Tina Kaidanow semasa lawatan rasminya ke New York baru-baru ini, berkata kerajaan masih dalam perbincangan awal untuk mendapatkan pembebasan Nazir Lep dan Mohamad Farik Amin.
"Kami masih belum sampai ke peringkat itu," kata Saifuddin kepada pemberita ketika ditanya sama ada kedua-duanya ditahan berhubung dakwaan penglibatan dalam pengeboman berkembar yang mengorbankan 202 orang di Bali pada Oktober 2002 dan pengeboman di hotel JW Marriott di Jakarta pada Ogos 2003 akan ditahan tanpa bicara di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012.
“Kita baru berjumpa dengan mereka (wakil AS), dan membaca profil atau status semasa mereka (tahanan).
"Kita masih belum sampai ke peringkat di mana kaki mereka sudah mencecah bumi Malaysia. Masih peringkat awal," kata Saifuddin selepas melancarkan program KDN Madani di Kompleks Sukan Cheras.
Dia juga menolak mengulas lanjut mengenai kritikan terhadap usaha kerajaan untuk menghantar pulang dua individu itu.
“Anda boleh bertanya kepada pihak yang melihat mereka sebagai pengganas.
“Mereka ditahan pada 2003 dan sekarang tahun 2023, saya hanya menteri selama 10 bulan,” katanya.
Nazir dan Mohamad Farik dilaporkan telah ditahan di Thailand pada 2003 dan dipindahkan ke lokasi rahsia yang dikendalikan Agensi Perisikan Pusat (CIA) sebelum dipindahkan ke Teluk Guantanamo pada 2006.
Selepas beberapa kali penangguhan perbicaraan mereka, Singapore Straits Times melaporkan minggu lalu bahawa pendakwa raya George Kraehe baru-baru ini mencadangkan tarikh perbicaraan pada Mac 2025.
