Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Petani protes penurunan harga belian padi, persoal campur tangan kartel
Diterbitkan:  Oct 8, 2023 8:00 PM
Dikemaskini: 12:00 PM

Sekumpulan petani mengadakan bantahan di Alor Setar, Kedah hari ini, berhubung kejatuhan mendadak dalam harga belian padi oleh pengeluar - yang mereka dakwa mungkin disebabkan manipulasi.

Pertubuhan Persaudaran Pesawah Malaysia (Pesawah) mahu kerajaan campur tangan, dan mengkaji semula mekanisme kawalan harga yang menurut mereka tidak dikemas kini sejak 2008.

Menurut laporan, pada 3 Okt lepas, pengilang di Kedah menyemak semula harga belian padi daripada petani kepada RM1,200 satu tan metrik, berbanding RM1,700 satu tan metrik beberapa bulan lalu.

RM1,200 bagi setiap tan metrik adalah harga lantai yang ditetapkan kerajaan.

Ini berlaku tiga minggu selepas kekurangan bekalan beras tempatan kepada pengguna, yang kini dilaporkan semakin pulih.

Dalam satu kenyataan, Pesawah berkata semakan harga itu tidak normal memandangkan kekurangan beras tempatan sebelum ini.

"Ini menunjukkan bahawa keadaan bekalan beras dan harga padi tidak normal, atau terdapat campur tangan oleh kartel," katanya.

Secara berasingan, Berita Harian melaporkan Pengerusi Pesawah Mohd Fuad Yaacob mempersoalkan sama ada bahagian Kawal Selia Padi dan Beras di Kementerian Pertanian dan Industri Makanan bersekongkol dengan kartel untuk menurunkan harga.

Dia berkata demikian kerana penurunan harga itu bercanggah dengan arahan Ketua Pengarah Kawal Selia Padi dan Beras Azman Mahmood pada September, yang dalam pertemuan dengan pemain industri didakwa mengarahkan Bernas membeli padi daripada petani pada harga RM1,600 setan metrik.

"Jadi adakah pihak berkuasa tunduk kepada (tuntutan daripada) kartel padi?" Mohd Fuad dipetik sebagai berkata.

Sebelum ini, terdapat dakwaan berasingan mengatakan kartel memanipulasi harga beras tempatan, seperti menjual beras standard - iaitu harga terkawal - sebagai beras pecah, yang bukan harga terkawal.

Sementara itu, Pesawah dalam kenyataannya menggesa kerajaan menaikkan harga lantai padi kepada RM1,500 setan metrik, sebagai perlindungan terhadap manipulasi harga yang didakwa.

“Pesawah berada dalam keadaan sukar selepas kos penanaman padi meningkat apabila harga padi meningkat termasuk harga benih padi, jentera dan sewa untuk sawah.

"Oleh itu, penurunan harga padi pasti akan mengakibatkan kerugian besar yang tidak dijangka," tambahnya.

Menurut kumpulan itu, harga benih padi yang disahkan kini pada RM52 sebekas apabila dibeli daripada pengilang, dan RM56 sebekas runcit.

Menurut mereka, ia merupakan bukti penguatkuasaan lemah oleh pihak berkuasa kerana harga kawalan untuk benih padi yang disahkan sepatutnya RM31 sebekas di kilang, dan RM35 sebekas untuk runcit.

Rabu lalu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu berkata pesawah masih akan mendapat RM1,700 setan metrik padi, selepas mengambil kira subsidi RM500 setan metrik yang diberikan kerajaan.

Subsidi RM500 bagi setiap tan metrik dinaikkan daripada RM360 oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada Ogos.

Subsidi dibayar terus kepada petani yang berdaftar untuk skim tersebut.

Malaysiakini difahamkan bahawa apabila harga padi adalah RM1,700 setan metrik, subsidi akan membantu petani memperoleh sejumlah RM2,200 setan metrik.

Lihat Komen
ADS