Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Persatuan kesihatan gesa RUU Kawalan Produk Merokok diluluskan segera
Diterbitkan:  Oct 10, 2023 3:54 PM
Dikemaskini: Oct 11, 2023 3:58 AM

Beberapa persatuan berlatar belakang kesihatan bersama-sama kumpulan profesional hari ini menggesa agar Rang Undang-Undang (RUU) Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2023 dibentangkan dan disokong oleh semua ahli parlimen dan seterusnya diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara melalui satu memorandum bersama.

Memorandum tersebut diserahkan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim di perkarangan parlimen pagi tadi oleh Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) bersama-sama Malaysian Green Lung Association, Medical Mythbusters Malaysia, Majlis Kawalan Tembakau Malaysia dan Akademi Profesor Malaysia.

"Melalui petisyen ini, kami menggesa agar RUU ini dibentangkan dan disokong oleh semua ahli parlimen dan seterusnya diluluskan oleh Dewan Rakyat dan Dewan Negara demi rakyat memandangkan masalah merokok sudah tidak dapat dibendung secara berkesan lagi di bawah Akta Makanan dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau yang sedia ada.

"Jika RUU ini berjaya diluluskan kali ini, ini membuktikan kerajaan Madani dan seluruh ahli parlimen mempunyai nilai kebertanggungjawaban yang tinggi dan tidak mudah tergugat dengan pengaruh pihak tertentu dalam menangani isu kritikal kelompangan undang-undang yang wujud dalam kawalan produk merokok terutama rokok elektronik atau vape," kata mereka dalam satu kenyataan bersama.

Badan-badan itu diwakili Dr Mohd Afiq Mohd Nor (IKRAM Health), Dr Suhazeli Abdullah, Dziehan Mustapa (Medical Mythbusters Malaysia), Ho Rhu Yann (Green Lung Malaysia), Dr M Muralitharan (Majlis Kawalan Tembakau Malaysia) dan Profesor Dr Mohd Cairul Iqbal Mohd Amin (Akademi Profesor Malaysia).

Mereka turut menyerahkan satu lagi memorandum kepada Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustapa.

Untuk rekod, RUU tersebut yang dijadual dibentang semula ke Dewan Rakyat untuk dibahaskan hari ini, ditangguhkan.

Sebaliknya, Malaysiakini difahamkan RUU itu akan dibawa semula untuk kelulusan dalam mesyuarat kabinet pada Jumaat ini.

Pada 12 Jun 2023, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan membentangkan RUU itu bagi bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Sebelum ini, pada 26 Mei lepas, Dr Zaliha menyifatkan perkembangan itu merupakan kejayaan buat KKM apabila mendapat sokongan kabinet untuk RUU tersebut dibentang.

Pada sesi taklimat bersama media 6 Jun pula, dia berkata KKM telah memasukkan kesemua 23 cadangan pindaan terdahulu serta lima cadangan baharu dan RUU itu disifatkan lebih komprehensif dan meliputi bukan sahaja rokok konvensional tetapi juga rokok alaf baru termasuk elektronik serta rokok combustible.

Terdahulu, persatuan-persatuan yang serah memorandum itu berkata berdasarkan petisyen yang telah dilancarkan, seramai 9.2 juta rakyat menyokong penuh usaha membentangkan RUU ini dengan peruntukan GEG (Generasi Penamat) mesti dilaksanakan.

"Kami menggesa agar proses pembentangan akta ini dapat dipercepatkan dan semua ahli parlimen yang akan mengundi ketika proses pembentangan akta ini dapat menyokong pihak Kerajaan Madani demi kepentingan generasi akan datang," kata mereka.

Lihat Komen
ADS