Seorang pengarah sebuah syarikat swasta didakwa dengan empat pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kota Bharu, hari ini, atas dakwaan menipu seorang wanita sehingga mangsa menyerahkan wang sebanyak RM665,000, tiga tahun lalu.
Tertuduh Muhammad Syafiq Pubalan Abdullah, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan itu di hadapan hakim Mohd Zul Zakiqudin Zulkifli.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menipu Noor Haslina Abdullah, 52, dengan memperdaya menggunakan dokumen palsu Syarikat Top Glove dan Hartalega untuk membuat tempahan sarung tangan getah yang tidak wujud sehingga mendorong mangsa menyerahkan wang sebanyak RM45,000 melalui akaun bank.
Bagi pertuduhan kedua, lelaki itu didakwa menipu mangsa yang sama dengan memperdaya wanita itu membuat tempahan dan bayaran sebanyak lima peratus deposit untuk 20,000 kotak sarung tangan jenama Top Glove yang tidak wujud dengan curangnya mendorong mangsa menyerahkan wang RM31,000.
Bagi dua lagi pertuduhan, lelaki itu didakwa menipu mangsa yang sama untuk membuat bayaran untuk tempahan sarung tangan masing-masing RM310,000 dan 279,000.
Keempat-empat perbuatan itu didakwa dilakukan di Akademi Memandu KIST, Kandis, Bachok antara 27 Mei 2020 hingga 10 Julai 2020.
Pendakwaan dibuat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara minimum satu tahun sehingga 10 tahun dan sebatan dan boleh juga dikenakan denda.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Abu Arsalna Zainal Abidin, manakala tertuduh diwakili peguam Peguam Mohd Taufikrullah Rusli dan Muhammad Zulfaqar Al-Basysyar Saharrudin.
Terdahulu, Abu Arsalna mencadangkan jumlah jaminan sebanyak RM100,000, manakala peguam bela mewakili tertuduh memohon mahkamah mengurangkan jaminan kepada anak guamnya.
Mahkamah kemudiannya membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM15,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 9 November depan sebagai tarikh sebutan semula kes.
