Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

PARLIMEN | Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) menggesa kerajaan mengkaji alternatif kepada pemegang tunggal perjanjian konsesi pengurusan industri padi dan beras negara, syarikat Padiberas Nasional Bhd (Bernas).

Ini, kata PAC bagi menjamin kestabilan bekalan makanan ruji rakyat Malaysia itu.

"Kerajaan perlu mengkaji alternatif dalam menjamin kestabilan industri beras negara bagi mengelakkan kebergantungan kepada perjanjian konsesi Bernas sekali gus mendorong ke arah pasaran terbuka beras," kata PAC pada satu kenyataan hari.

Ini salah satu daripada lapan cadangan dalam laporan PAC, terbit hari ini bertajuk ‘Terimaan dan Bayaran Obligasi Sosial Perjanjian Konsesi bagi Industri Padi dan Beras Negara di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM)’.

Gambar fail, bantahan pesawah.

"Perjanjian konsesi Bernas yang bermula sejak tahun 1996 dan berakhir pada tahun 2011 telah dilanjutkan sebanyak dua kali dan akan berakhir pada tahun 2031.

"Perjanjian konsesi ini akan menjangkau tempoh 35 tahun.

"Kos konsesi Perjanjian Ketiga berjumlah RM3.216 bilion yang bermula 11 Januari 2021 hingga 10 Januari 2031," kata PAC.

Pada sidang media hari ini, Naib Pengerusi PAC Wong Shu Qi (gambar, bawah) menekankan beberapa percanggahan dalam tingkah laku Bernas yang menyebabkan jawatankuasa itu mengemukakan lapan syor kepada kerajaan.

Selain mencari alternatif kepada Bernas, PAC juga mengesyorkan Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan memantau dana tanggungjawab sosialnya disalurkan tepat pada masanya dan mengikut perjanjian konsesinya.

Ini selepas PAC mendapati sehingga 14 Jun tahun ini, Bernas masih belum mengeluarkan RM25 juta daripada RM37 juta untuk dana tanggungjawab sosialnya bagi tahun 2021.

"KPKM dan Bernas hendaklah memastikan jentera dan mekanisasi disenggara dengan baik bagi membolehkan ia digunakan oleh pesawah pada bila-bila masa.

"KPKM hendaklah menguatkuasakan remedi iaitu dengan menuntut penalti yang berkaitan, berhubung dengan kegagalan syarikat konsesi mematuhi obligasinya selaras dengan KPI yang ditetapkan dalam perjanjian konsesi.

Laporan PAC juga mengenal pasti pangkalan data Skim Subsidi Harga Padi (SSHP) pembekal beras tidak dikemas kini dengan mencukupi, menyebabkan pembayaran sejumlah RM0.73 juta disalur kepada 300 pesawah yang telah meninggal dunia.

Jawatankuasa itu mengesyorkan kementerian, Bernas dan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) mengintegrasikan sistem bersepadu dan mengemas kini pangkalan datanya bagi memastikan pembayaran SSHP dapat dilaksanakan dengan lebih telus, cekap dan teratur.

Wong berkata prosiding PAC telah dijalankan pada 14 Jun tahun ini.

Secara berasingan, Wong mengumumkan bahawa PAC akan memulakan prosiding mengenai Perbadanan Pembangunan Sumber Manusia (HRD Corp) pada 23 Okt.

Perolehan kontrak HRD

"Saksi yang akan dipanggil adalah Pegawai Pengawal Kementerian Sumber Manusia (KSM) iaitu, Amran Ahmad, Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Antarabangsa) KSM dan Shahul Dawood, Ketua Eksekutif HRD Corp.

"Tujuan PAC memulakan prosiding ini adalah bagi mengkaji dan meneliti pengurusan dan keberkesanan program–program HRD Corp bagi memastikan dana dan peruntukan Kerajaan diurus dengan cekap dan berkesan mengikut garis panduan serta prosedur yang telah ditetapkan.

"Pada masa yang sama, program–program serta latihan yang dibekalkan turut akan diteliti bagi memastikan dana dan peruntukan yang diberi bagi tujuan-tujuan pemantapan kompetensi dan tenaga mahir negara adalah bertepatan dengan keperluan majikan serta arus industri dan ekonomi semasa," kata PAC lagi.

HRD Corp mendapat perhatian pada awal tahun ini apabila laporan berita mendakwa Kementerian Kewangan menemui percanggahan dalam proses perolehan kontrak bernilai antara RM53 juta hingga RM159.47 juta setahun melibatkan seorang pegawai penting dalam perbadanan itu.

Lihat Komen
ADS