Kawalan harga sementara ke atas harga ayam dan telur yang ditetapkan akan dilepaskan supaya pasaran tempatan boleh berfungsi semula dengan bebas dalam memastikan keterjaminan bekalan di pasaran.
Perdana Menteri, Anwar Ibrahim berkata, ketika ini kerajaan menanggung sebanyak RM3.8 bilion untuk subsidi telur dan ayam, yang berlangsung berterusan dan tidak hanya pada musim perayaan sahaja.
“Tujuan asal subsidi sementara ini adalah untuk mengawal harga ayam dan telur yang meningkat mendadak serta menangani kekurangan bekalan.
“Alhamdulillah, trend semasa menunjukkan bekalan ayam dan telur telah mula stabil dan harga pasaran semasa kini berada di bawah harga siling kawalan.
“Maka dengan itu, kawalan harga sementara yang ditetapkan akan dilepaskan,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurutnya, langkah itu bagi memastikan tiada kenaikan yang tidak munasabah oleh syarikat atau peniaga yang terbabit.
Tambahnya, perincian langkah itu akan diumumkan oleh Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Mohamad Sabu dalam tempoh dua minggu lagi, selepas berunding dengan pihak pengeluar.
