Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cukai perkhidmatan naik kepada 8 peratus
Diterbitkan:  Oct 13, 2023 5:57 PM
Dikemaskini: 9:57 AM

Kerajaan bercadang menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8 peratus, berbanding 6 peratus sebelum ini.

Menteri Kewangan Anwar Ibrahim berkata ia adalah beberapa langkah reformasi percukaian akan dilaksanakan bagi meluaskan asas hasil negara, pada masa yang sama tidak membebankan majoriti rakyat.

"Kerajaan bercadang untuk menaikkan kadar cukai perkhidmatan kepada 8 peratus ketimbang 6 peratus.

"Namun, agar tidak membebankan rakyat, peningkatan ini tidak termasuk perkhidmatan seperti makanan dan minuman serta telekomunikasi.

"Kerajaan juga akan meluaskan skop perkhidmatan bercukai meliputi perkhidmatan logistik, pembrokeran, penajajaminan dan karaoke," katanya dalam ucapan Belanjawan 2024 di Dewan Rakyat.

Anwar juga berkata kerajaan akan menguatkuasakan pelaksanaan Cukai Keuntungan Modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat tempatan berdasarkan keuntungan bersih pada kadar 10 peratus mulai 1 Mac 2024.

Katanya, kerajaan turut mempertimbangkan pengecualian Cukai Keuntungan Modal ke atas pelupusan saham berkaitan aktiviti tertentu seperti Initial Public Offering (IPO) yang diluluskan, penstrukturan dalaman dan syarikat modal teroka tertakluk kepada syarat ditetapkan.

"Malaysia perlu seiring dengan piawaian percukaian antarabangsa khususnya dalam mengekang aktiviti penghakisan asas cukai dan pemindahan keuntungan ke negara yang mempunyai kadar cukai yang rendah.

"Mengambil kira maklum balas daripada industri dan perkembangan terkini antarabangsa, Kerajaan dijangka akan melaksanakan cukai 12 minimum global pada tahun 2025 dan hanya terpakai kepada syarikat yang mempunyai pendapatan global sekurang-kurangnya 750 juta Euro.

"Kerajaan juga akan terus memantau perkembangan cukai minimum global di peringkat antarabangsa," katanya.

Terdahulu, perdana menteri berkata bahawa cukai yang dipungut di Malaysia antara yang terendah di negara-negara Asean, yakni hanya 11.8 peratus kepada KDNK.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS