Lembaga Urus Air Selangor (Luas) telah menyediakan kerangka dasar sifar lepas bahan buangan (zero discharge policy) dalam usaha menghalang pencemaran sungai.
Menurut Pengarah Luas Hasrolnizam Shaari, sebaik sahaja ini diluluskan oleh Majlis Tindakan Ekonomi Selangor, dasar itu dijangka berkuat kuasa tahun depan.

“Polisi ini wajar diketengahkan berikutan keadaan semasa di seluruh lembangan sungai di Selangor yang dipenuhi pelbagai aktiviti. Jadi untuk ada kawalan (aktiviti), kita cadangkan pendekatan ‘zero discharge policy’.
“Kita sudah siapkan kerangka peraturan baharu dan akan kemukakan kepada kerajaan negeri. Kita percaya sedikit masa lagi keputusan terhadap pendekatan tersebut akan dibuat,” katanya seperti dipetik The Star.
Hasrolnizam bercakap kepada pemberita selepas sambutan Hari Sungai Sedunia dan program Kutip Sampah Sambil Riadah di Sungai Ampang, Kampung Muhibah Lembah Jaya di Ampang Jaya, semalam.
Katanya, dasar itu akan mewajibkan kitar semula efluen dan ia tidak lagi dilepaskan lagi ke dalam longkang dan sungai.
Luas kini menguruskan 1,025 sungai dan anak sungai yang sepanjang kira-kira 4,000km.
Hasrolnizam berkata dasar itu akan dikuatkuasakan bersama-sama dengan dasar bayaran pencemar yang mana mereka yang membuang efluen ke dalam sungai perlu membayar bagi jumlah yang dilepaskan mengikut had yang dibenarkan.

Hasrolnizam berkata sungai secara amnya dikelaskan kepada lima kategori berdasarkan kualiti air - dengan Kelas 1 adalah yang terbaik dan Kelas V paling tercemar.
Secara purata, sungai-sungai di Selangor berada di Kelas III (memerlukan rawatan menyeluruh), katanya.
“Memandangkan kebanyakan sungai Selangor digunakan sebagai sumber air mentah, kami mahu menaik tarafnya kepada Kelas II,” katanya.
Turut hadir pada majlis itu adalah Yang Dipertua Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) Ani Ahmad dan Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Menurut Ani, kira-kira satu tan sampah berjaya dibawa keluar dari anak sungai Sungai Ampang semasa program itu.
Katanya, adalah lumrah bagi kebanyakan orang membuang sampah di sungai kerana mereka percaya akan ada yang mengutipnya.
