ULASAN | Lewat di segenap media sosial diperkatakan bahawa kerajaan bakal melaksanakan rasionalisasi subsidi bahan bakar pada tahun 2024 nanti.
Dikhabarkan bahawa rasionalisasi subsidi diesel akan dilaksanakan terlebih dahulu sebelum dipanjangkan ke subsidi RON95.
Jika ini dilakukan, kerajaan secara fiskal akan dapat menjimatkan subsidi sebanyak RM50 bilion yang selama ini disalurkan kepada bahan bakar ini.
Walaubagaimanapun, ia memberi kesan yang sangat besar khususnya kepada industri pengangkutan dan logistik negara.
Menurut kajian daripada MIDF Research, kadar inflasi pengangkutan akan menokok setinggi 32.5 peratus jika rasionalisasi subsidi bahan bakar ini diperkenalkan.
Sebagai contoh jika tambang bas sekolah sebelum ini adalah RM100 maka ia boleh meningkat sehingga RM132.50 jika rasionalisasi subsidi bahan bakar dilaksanakan.
Ini pasti membebankan ramai ibu bapa yang perlu bayar lebih ke atas perkhidmatan sedia ada.
Dengan rasionalisasi subsidi bahan bakar ini pastinya penyedia perkhidmatan logistik dan pengangkutan menaikkan harga mereka tetapi mereka juga bakal menghadapi tekanan perniagaan yang tinggi apabila mereka turut berhadapan dengan kenaikan kos dalam urusan perkhidmatan mereka.
Malah mereka juga bakal kehilangan prospek perniagaan apabila pengguna sedia ada bakal beralih arah atau memilih mod pengangkutan yang lebih murah.
Di samping itu, industri gig ekonomi juga bakal terjejas teruk kerana penyedia perkhidmatan pasti akan menaikkan harga dalam mengimbangi kos sedia ada.
Biarpun harga dinaikkan, tiada jaminan pendapatan rider akan meningkat akibat daripada tekanan inflasi yang membuatkan pengguna lebih berjimat untuk berbelanja.
Syarikat kurier tutup
Sementelah itu juga industri logistik dan penghantaran barang juga akan turut terkesan apabila rasionalisasi subsidi bahan bakar ini diperkenalkan.
Jika waktu PKP banyak syarikat logistik dan kurier tumbuh bak cendawan lepas hujan, tetapi dalam pasca Covid-19 ini banyak juga syarikat kurier servis yang tutup.
Terbaru adalah Syarikat Nationwide Express yang telah menutup operasinya pada 15 Disember yang lalu.
Penutupan operasi syarikat ini menambah lagi bilangan syarikat kurier servis yang gulung tikar mahupun yang mengalami kerugian khususnya pada pasca Covid-19 ini.
Justeru jika rasionalisasi subsidi bahan bakar ini diteruskan senarai syarikat kurier servis ditutup akan bertambah dan statistik pengangguran akan meningkat berbanding angka 3.5 peratus buat masa ini.
Dengan kata lain, industri logistik dan pengangkutan bakal menghadapi tekanan perniagaan yang teruk jika rasionalisasi subsidi bahan bakar ini diteruskan.
Industri ini bakal berhadapan kemorosotan daya saing, kehilangan perniagaan dan akhirnya berhadapan risiko gulung tikar jika rasionalisasi subsidi bahan bakar ini diperkenalkan.
Maka besar harapan jika pelaksanaan rasionalisasi subsidi bahan bakar disemak semula agar pendekatannya tidak terlalu tergesa-gesa dalam mengelak dampak yang tidak terkawal bukan sahaja kepada industri tetapi kepada rakyat teramai.
MOHD IKHMAL MOHD ISKANDAR merupakan mantan Penyelidik Malaysia Institute of Transport (MITRANS, UiTM).
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian Malaysiakini.
