Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ulama jangan tahu cakap halal haram saja, tegur Nik Amar
Diterbitkan:  Oct 19, 2023 12:16 PM
Dikemaskini: 4:29 AM

Anggota Dewan Ulama PAS dinasihatkan terus menggali ilmu agar mampu menterjemahkan prinsip-prinsip Islam secara realistik dan praktikal, sekali gus membantu pemerintahan kerajaan.

Naib Presiden PAS Mohd Amar Abdullah berkata keraguan masyarakat yang masih melihat golongan itu hanya tahu bercakap soal halal dan haram mesti diperbetul, lapor Harakahdaily.

Dia yang lebih dikenali sebagai Nik Amar berkata pemikiran ulama silam telah jauh ke hadapan dan membincangkan masalah-masalah yang mungkin berlaku.

Dalam bab perkahwinan, katanya, ditetapkan perkahwinan mesti antara lelaki dan wanita yang sebenarnya bagi mengekang isu lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) di zaman ini.

Malah, katanya, terdapat perbahasan mengenai perkahwinan manusia dengan lembu hingga “melahirkan” anak serta status sama ada anak itu boleh disembelih.

“Akan berlaku makna jauhnya hukum-hukum yang kita panggil istirodi ini sudah dibincang dalam kitab. 

“Maknanya apa isu pun dalam kehidupan ini sudah pun dibincang, jadi selesaikan ulama kita. 

“Tinggal apa yang ada pada kita hari ini ialah bagaimana menggali menggali ilmu-ilmu yang ada dalam kitab ini dan melihat dalam konteks semasa. 

“Melihat dalam perspektif yang ada pada hari ini,” speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan itu dipetik sebagai berkata.

Menurut sains, perkahwinan antara dua spesies berbeza tidak dapat melahirkan zuriat kerana mempunyai kromosom dan struktur DNA yang berlainan.

Berucap merasmikan Muktamar Dewan Ulama PAS di Shah Alam pagi ini, Mohd Amar berkata isu dan dasar yang dibincangkan oleh ulama silam harus diterjemah agar sesuai di zaman ini.

Dalam pentadbiran Islam, katanya, terdapat perbahasan berkaitan pentadbiran dan ciri-ciri pelantikan yang yang hampir mustahil diadakan.

“Bukan suruh ambil 100 peratus kita ciplak. Sebab ulama ini dia berfikir, bercakap dalam zaman dia. Ada pandangan-pandangan itu yang terlalu ideal. 

“Yang mungkin kita tidak boleh bawa kepada zaman kita. Tapi Dewan Ulama inilah yang mesti memainkan peranan ini,” katanya.

Oleh itu, kata Mohd Amar, pandangan silam perlu diperbahas dalam konteks semasa dan Malaysia bagi mendapat perspektif yang realistik dan praktikal.

Muktamar Dewan Ulama PAS hari ini berlangsung serentak dengan dua lagi sayap parti itu iaitu Pemuda dan Muslimat.

Lihat Komen
ADS