Lynas bercadang untuk menutup sementara semua operasi di Malaysia pada suku Disember bermula pertengahan November tahun ini kecuali untuk pemprosesan Campuran Nadir Bumi Karbonat (MREC).
Perkara itu dinyatakan syarikat berpangkalan di Australia berkenaan dalam laporan suku tahunannya yang diterbitkan awal hari ini.
"Kami teruja kerana kini telah memulakan kitaran pemanasan tanur di Kalgoorlie Facility baru. Ini adalah langkah pertama dalam pengeluaran dan akan diikuti dengan pengeluaran pertama, dan kemudian meningkat dalam beberapa bulan akan datang.
"Walaupun trajektori tanjakan ini sememangnya tidak dapat diramalkan, ini adalah peristiwa penting yang menarik.
"Di Malaysia, akan ada rancangan penutupan semua operasi, selain pemprosesan MREC, pada suku Disember bermula dari pertengahan November. Jumlah pemprosesan MREC dijangka minimum dalam tempoh ini," kata laporan itu.
Semasa penutupan itu, Lynas berkata, kakitangan utama di Malaysia untuk operasi retak dan larut lesap (C&L) akan digunakan di kemudahan baru syarikat itu di Kalgoorlie, Australia untuk membantu proses permulaannya.
Lynas berkata mereka akan melaksanakan peningkatan kepada operasi hilirannya untuk meningkatkan kapasiti pengeluaran neodymium dan praseodymium (NdPr) kepada kira-kira 10,500 tan setahun.
Ini, kata Lynas, adalah kapasiti tambahan yang penting sekiranya kerajaan Malaysia mengemas kini lesen syarikat itu untuk membenarkan pengimportan dan pemprosesan pekat Lanthanide mulai tahun depan dan seterusnya.
"Sekiranya ia tidak berlaku, kapasiti itu masih diperlukan kerana Kalgoorlie meningkatkan kapasiti plat namanya bagi bahan mentah MREC untuk menghasilkan kira-kira 9,000tpa NdPr produk siap," kata laporan itu.
Awal tahun ini, kerajaan memperbaharui lesen operasi untuk kilang operasi Lynas di Gebeng, Kuantan selama tiga tahun, berkuat kuasa 3 Mac.
Bagaimanapun, lesen itu diperbaharui dengan syarat sama yang dikenakan pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada 2020.
Syarat utama termasuk menempatkan semula kemudahan retak dan larut lesap di luar Malaysia sebelum Julai tahun ini, selepas itu ia tidak lagi dibenarkan mengimport pekat lantanida ke negara ini.
Walau bagaimanapun, tarikh akhir telah dilanjutkan sehingga penghujung tahun 2023 untuk mengelakkan gangguan kepada rantaian bekalan nadir bumi global dan supaya Lynas boleh menyiapkan kilang Kalgoorlie.
Satu lagi syarat utama ialah membina kemudahan pelupusan kekal (PDF) untuk menyimpan sisa sedia ada sejak ia mula beroperasi pada 2012.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim juga baru-baru ini mengumumkan bahawa kerajaan akan membangunkan dasar larangan eksport ke atas bahan mentah nadir bumi.
Ini bagi mengelakkan eksploitasi dan kehilangan sumber, sekali gus memastikan pulangan maksimum untuk negara, menurut ucapan Anwar ketika membentangkan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 2021-2025 (RMK12 MTR) di Dewan Rakyat bulan lepas.
Sementara itu, pengumuman penutupan sementara tersebut menyaksikan harga saham Lynas di Bursa Saham Australia mencatatkan penurunan.
Sahamnya merosotn 2.7 peratus kepada A$6.24, terendah sejak 3 Mei, lapor Reuters.
