Dikemas kini dengan tambahan kenyataan Hadi dalam sidang media.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang mengarahkan anggota parti itu menarik undi bukan Islam pula setelah berjaya menguasai sokongan Melayu.
“Kita sudah berjaya menarik sokongan pengundi Melayu Islam dalam PRU15, maka usaha yang penting dan berat yang mesti dilakukan adalah menarik sokongan pengundi bukan Islam dan bukan Melayu dalam PRU16.
“Perkara ini penting untuk dibincangkan dan dilaksanakan dengan bersungguh-sungguh, tersusun dan bijaksana,” katanya dalam ucapan dasar sempena muktamar tahunan PAS di Shah Alam sebentar tadi.

Hadi mengakui bedah siasat PAS mendapati bahawa mereka lemah dalam menarik sokongan bukan Melayu.
Susulan itu, katanya, PAS dan Perikatan Nasional (PN) tidak mendapat bilangan gabungan kerusi yang belum mencukupi untuk membentuk kerajaan.
Ini semua berlaku walaupun secara keseluruhannya berlaku peningkatan mendadak sokongan terhadap mereka, tambahnya.
Untuk menjayakan agenda itu, Hadi turut mengarahkan anggota parti itu mengekang naratif menggunakan jenama Gelombang Hijau.
Dia mengulangi pendiriannya sebelum ini bahawa gelaran itu berunsur Islamofobia yang bertujuan menakutkan-nakutkan bukan Islam.

Hadi menegaskan mereka akan meneruskan agenda penyatuan ummah yang melibatkan orang bukan Islam yang tidak ekstrem, demi kestabilan dan keharmonian negara.
“PAS berusaha menyantuni pelbagai kaum dan tidak pernah mengesampingkan slogan Islam untuk semua, Islam for all,” katanya.
Sementara itu, bercakap dalam sidang media selepas itu, Hadi yakin PAS mampu meraih sokongan pengundi bukan Islam bersandarkan prestasi pentadbiran di negeri-negeri diperintah mereka.
"Kita sudah memerintah kerajaan negeri Kelantan sudah 30 tahun, orang bukan Islam lebih tahu, di Kedah juga, mereka lebih tahu bagaimana pemerintahan kita.
"Tidak mustahil sokongan boleh dapat, kita saksikan bagaimana DAP boleh mengundi calon India, takkanlah orang Cina tak boleh undi calon Islam?
"Bahkan, kalau orang bukan Islam boleh menerima ideologi daripada barat, kenapa tak boleh terima Islam sebagai satu ideologi yang lahir di tengah masyarakat mereka?" kata Hadi.
Sebaliknya, dia mendakwa antara punca maklumat tidak sampai adalah “dakyah negatif” di semua peringkat.
