Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Meta nafi sekat kandungan pro-Palestin
Diterbitkan:  Oct 20, 2023 1:20 PM
Dikemaskini: 9:55 AM

Meta, pemilik platform media sosial popular Facebook dan Instagram, menafikan dakwaan bahawa ia menyekat siaran untuk menyokong Palestin.

Ini berlaku selepas tangkapan skrin mesej, dipercayai dihantar pada WhatsApp milik Meta, memberi amaran bahawa Meta Malaysia mungkin menggantung halaman perniagaan yang menyiarkan kandungan berkaitan Palestin.

"Saya menerima panggilan daripada Meta Malaysia sebelum ini, menasihatkan bahawa pentadbir halaman FB menyiarkan kandungan sedemikian, walaupun pada akaun peribadi mereka, merisikokan halaman perniagaan FB mereka.

"Penyiaran mengenai topik ini boleh mengakibatkan menerima amaran dan mungkin membawa kepada penggantungan halaman FB," bunyi mesej WhatsApp yang dikatakan, kini tersebar di media sosial.

Bagaimanapun, Meta menafikan ia cuba "menindas komuniti tertentu".

Dalam e-mel kepada perikatan pemeriksa fakta Malaysia JomCheck, ia berkata polisinya "direka bentuk untuk memberi suara kepada semua orang sambil memastikan orang ramai selamat".

"Dakwaan bahawa kami cuba menyekat komuniti atau sudut pandangan tertentu adalah tidak benar.

"Dasar kami direka bentuk untuk memberi suara kepada semua orang sambil memastikan orang ramai selamat pada apl kami, dan kami menggunakan dasar ini tanpa mengira siapa yang menyiarkan atau kepercayaan peribadi mereka," kata jurucakap Meta.

Dia juga merujuk kepada kenyataan Meta pada 13 Oktober mengenai dasar-dasarnya selepas perang di Israel dan Palestin.

Dalam kenyataan itu, Meta berkata ia sedang mengambil langkah untuk "menangani kandungan berbahaya dan berpotensi berbahaya" di platformnya, berkaitan dengan perang.

Bagaimanapun, ia menegaskan bahawa ia tidak akan membenarkan "kandungan yang mengandungi pujian untuk Hamas" kerana Hamas telah ditetapkan oleh Meta sebagai "organisasi berbahaya".

"Kandungan ganas dan grafik" juga tidak dibenarkan pada platformnya, katanya.

Meta berkata bahawa mereka yang merasakan telah ditapis secara salah boleh membuat rayuan dan ia akan "menyiasatnya".

Ia menambah bahawa dasar itu dilaksanakan secara sama rata di seluruh dunia.

Dalam kenyataannya Meta juga merujuk kepada insiden 7 Okt sebagai "serangan pengganas Hamas", dan serangan Israel ke atas Gaza sebagai "tindak balas Israel".

Lebih 3,500 orang telah terbunuh di Gaza akibat serangan Israel yang berterusan manakala 1,400 terbunuh dalam serangan Hamas di Israel. Korban adalah kebanyakan orang awam, termasuk kanak-kanak.


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS