Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Amat dangkal untuk Parlimen hadkan penggunaan 'kafir, Zionis' - Zuraida
Diterbitkan:  Oct 24, 2023 10:51 AM
Dikemaskini: 3:15 AM

Timbalan Presiden Muafakat Nasional, Zuraida Kamaruddin membidas Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul yang mahu ahli parlimen berhenti melabelkan satu sama lain dengan perkataan seperti kafir, Zionis dan Yahudi atau yang boleh mengguriskan hati ketika berbahas.

Menurut bekas menteri itu, arahan itu adalah satu langkah yang amat tidak wajar kerana ia menyekat kebebasan bersuara ahli-ahli Dewan Rakyat. 

“Adalah menjadi sesuatu yang amat dangkal untuk Parlimen Malaysia menghadkan penggunaan sebarang perkataan yang sekiranya diutarakan di luar dewan pun tidak menjadi kesalahan. 

“Sebagai contoh perkataan kafir yang menjadi antara punca polemik di dalam parlimen baru-baru ini adalah kerana kurangnya kefahaman sesetengah ahli parlimen mengenai perkataan tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Johari Abdul

Zuraida berkata demikian ketika mengulas kenyataan Johari semalam yang mahu ahli parlimen tidak lagi menggunakan kata-kata menghina, termasuk tiga yang dinyatakan itu terhadap rakan mereka di Dewan Rakyat, berikutan beberapa kekecohan yang tercetus minggu lalu.

Johari berkata bahawa penggunaan perkataan seumpama itu adalah “salah” dan bertentangan dengan Peraturan Tetap 36(10)(c) kerana berkemungkinan menimbulkan perasaan sakit hati atau bermusuhan di antara satu kaum dengan kaum yang lain di Malaysia.

Mengulas lanjut, Zuraida berkata perkataan kafir berasal daripada Bahasa Arab yang merujuk kepada orang-orang yang "tidak mempercayai" atau lebih tepat lagi mereka yang bukan beragama Islam dan tidak mempercayai apa yang diimani oleh seorang Muslim. 

“Al-Quran dan Hadis turut menggunakan perkataan kafir bagi menerangkan hal yang sama, jadi bagaimana speaker Dewan Rakyat, yang juga seorang Muslim, menolak untuk perkataan ini digunakan di dalam dewan bagi merujuk kepada ahli dewan yang bukan Islam,” soalnya.

Menurutnya, daripada mengenakan larangan menyeluruh, Johari sebaliknya harus menjelaskan maksud dan terjemahan perkataan itu, serta konteks penggunaannya kepada semua ahli parlimen.

Ini kerana, katanya, perkataan itu bukanlah satu kutukan atau cercaan, tetapi hanya satu gelaran kepada mereka yang bukan penganut agama Islam.

Begitu juga, dengan perkataan Yahudi dan Zionis pula, yang menurut Zuraida, sama seperti lontaran perkataan rasis, extremis, Taliban dan komunis yang pernah digunakan oleh kedua-dua belah pihak, pembangkang dan kerajaan sebelum ini.

“Ia hanyalah merupakan lontaran komunikasi antara satu sama lain dan bukannya kata-kata ugutan atau makian yang terlalu serius, sehingga penggunaannya perlu dilarang dan mendapat campur tangan speaker dewan. 

“Pandangan saya sebagai mantan ahli parlimen selama tiga penggal, kualiti pengurusan parlimen dan ahli-ahlinya pada ketika ini dilihat merudum berbanding sidang-sidang parlimen sebelum ini. 

“Tahap ketahanan mental ahli-ahli Parlimen khususnya dari kalangan ahli Parlimen kerajaan begitu rapuh (fragile) sehinggakan speaker sendiri terpaksa campur tangan dan menurunkan arahan-arahan merapu untuk menjaga hati mereka,” katanya. 

Bekas pemimpin PKR itu menjangkakan akan berlaku sekatan demi sekatan berterusan terhadap ahli parlimen, sehingga pada akhirnya parlimen akan gagal untuk melaksanakan tanggungjawab sebagai wadah memperjuangkan rakyat, akibat daripada suara wakil-wakil mereka yang disekat.

Dia juga mendakwa Johari  kelihatan amat jelas lemah dalam mengendalikan sidang parlimen dan dilihat terlalu berlembut dengan pihak kerajaan dan terlalu tegas apabila berhadapan dengan pembangkang. 

“Jika tidak mampu berlaku adil, saya sarankan kepada Johari untuk melepaskan sahaja jawatan beliau sebagai speaker dan membiarkan individu lain yang lebih layak untuk memegang jawatan tersebut. 

“Walaupun kasar atau biadab bagi sesetengah pihak, suara ahli parlimen seharusnya tidak boleh disekat, kerana perbuatan menghalang perkataan atau kenyataan tertentu di dalam parlimen ini, dengan jelas akan merencatkan lagi perkembangan demokrasi di negara kita,” katanya lagi. 


Sertai saluran WhatsApp Malaysiakini BM sekarang untuk mendapatkan perkembangan berita terkini!

Lihat Komen
ADS